SIBU: Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan berhubung rampasan dadah jenis Syabu seberat kira-kira empat kilogram dengan anggaran nilai RM151,236.00 di sini, Isnin (17 Mei).
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superitenden Collin Babat berkata, suspek yang kedua-duanya berumur 32 tahun ditahan dalam satu serbuan di tepi jalan di belakang bangunan Pejabat Pos Sibu di Jalan Wong Nai Siong sekitar pukul 1:00 tengah hari.
"Serbuan dijalankan susulan kerjasama dan maklumat dari pihak Jabatan Siasatan Nenayah Narkotik di KLIA sehingga menjurus kepada tangkapan dua suspek terbabit.
"Ketika serbuan, polis mendapati seorang wanita sedang mengangkat dua kotak menuju ke sebuah kereta dan seorang lelaki yang sedang duduk di tempat sebelah pemandu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Narkotik IPD Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Difahamkan dua kotak tersebut dipercayai dikirim dari Semenanjung Malaysia.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.