Anda di sini

Polis Marin patahkan cubaan seludup 12,000 liter diesel di Bintulu

Advertisement
Lori tangki muatan 12, 000 liter diesel seludup yang ditahan di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Kuala Tatau pada malam Isnin.
Lori tangki muatan 12, 000 liter diesel seludup yang ditahan di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Kuala Tatau pada malam Isnin.

BINTULU: Pasukan Polis Marin Malaysia Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup 12,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM25,800 berhampiran Kampung Warisan Jepak di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Kuala Tatau, pada malam Isnin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPMW5 Bintulu, ASP Ezuandi Bahadin berkata, semasa menjalankan pemeriksaan dalam Op Kontraban di jalan berkenaan sekitar jam 7 malam, Unit Risikan Marin (URM) menahan sebuah lori tangki yang mencurigakan.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati ianya membawa muatan diesel dipercayai diesel seludup," jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menahan pemandu kenderaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.

Beliau menambah, pemandu lori terbabit juga gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki atau membawa bahan api itu yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Laporan polis katanya sudah dibuat berhubung kes itu sebelum menyerahkannya kepada KPDNHEP Cawangan Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 KPDNHEP.

  • oleh
  • Advertisement