Anda di sini

PKOB Beaufort siap sedia tampung keperluan mangsa banjir

Advertisement
 Shahelmey (kiri) bersama Ruslan (kanan) membuat tinjauan di salah satu lokasi yang terjejas banjir di Beaufort.
BANJIR: Shahelmey (kiri) bersama Ruslan (kanan) membuat tinjauan di salah satu lokasi yang terjejas banjir di Beaufort.

BEAUFORT: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Beaufort sentiasa siap sedia untuk mengaktifkan pusat pemindahan sementara (PPS) sedia ada bagi menampung keperluan mangsa banjir di daerah ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya berkata, sekiranya keadaan cuaca semakin buruk, PKOB akan terus memantau untuk penempatan mangsa banjir di PPS.

Katanya, selain Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir yang dibuka untuk mangsa banjir ketika ini, Dewan Pa' Musa juga salah satu PPS untuk penempatan mangsa banjir di Beaufort.

"Pihak PKOB memang memantau dari semasa ke semasa keadaan banjir di daerah ini dan semestinya mereka bersedia untuk mengaktifkan PPS yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat mangsa-mangsa banjir di PPS Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahelmey turut berharap agar semua jabatan dan agensi di daerah Beaufort dapat mencari usaha untuk menangani dan menguruskan risiko banjir yang berpunca dari limpahan air di Tenom.

Menurutnya, bencana banjir di Beaufort seakan menjadi acara tahunan apabila berlakunya hujan lebat yang mengakibatkan limpahan air dari Tenom turun ke Beaufort melalui Sungai Padas.

Sehubungan itu, beliau mahu situasi terbabit dapat diselesaikan sebaiknya kerana jika dibiarkan sehingga bertahun lama, risiko kerugian akibat banjir membawa kesan yang buruk terutama kepada penduduk.

Semasa lawatan itu, Shahelmey bersama rombongan turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan.

Selepas lawatan di PPS, beliau juga meluangkan masa meninjau keadaan banjir di beberapa lokasi kampung yang terjejas banjir.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih dan ADUN Lumadan Ruslan Muharam.
 

  • oleh
  • Advertisement