Anda di sini

Op Rentas: Polis Sarawak sekat pergerakan 476 kenderaan

Advertisement
Gambar sekadar hiasan.
Gambar sekadar hiasan.

KUCHING: Sejumlah 476 buah kenderaan di Sarawak telah diarahkan berpatah balik, sepanjang Op Rentas yang dijalankan sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 10 hingga 16 Mei lepas, kerana pemandunya tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri dan zon.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebanyak 3,470 saman turut dikeluarkan sepanjang tempoh operasi berkenaan, melibatkan pemeriksaan ke atas 8,470 individu dan 6,956 kenderaan di 50 lokasi sekatan jalan raya dan lokasi rondaan di negeri itu.

“Sejumlah 28 buah motosikal juga telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana melakukan kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan seperti ekzos dan lain-lain kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan Op Rentas berjalan lancar dengan penglibatan seramai 362 orang pegawai dan anggota, dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 yang tidak membenarkan pengguna merentas negeri atau zon, tanpa kebenaran polis.

Keputusan tidak membenarkan pergerakan merentasi negeri atau zon tanpa kebenaran polis dikuatkuasakan di Sarawak, sebagai langkah untuk membendung penularan COVID-19 di negeri itu, khususnya semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri. - BERNAMA

Advertisement