Anda di sini

Lima ahli kumpulan Abu Sayyaf mati ditembak di Beaufort

Advertisement
 Senjata termasuk pistol dan parang yang dirampas dipercayai digunakan oleh suspek untuk menyerang pasukan serbuan.
SIDANG MEDIA: Senjata termasuk pistol dan parang yang dirampas dipercayai digunakan oleh suspek untuk menyerang pasukan serbuan.


BEAUFORT: Polis menembak mati lima lelaki dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf di penempatan haram kawasan hutan belakang Taman Sri Arjuna di sini 17 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah kira-kira jam 11.27 pagi.

“Semasa pihak polis menjalankan pemeriksaan dengan mengetuk salah sebuah rumah, seorang suspek membuka pintu dan melepaskan tembakan secara tiba-tiba manakala beberapa suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang turut menyerbu ke arah polis.

“Dalam usaha mempertahankan diri dan menghentikan ancaman pasukan serbuan melepaskan tembakan sebelum menumpaskan lima suspek di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya pihak polis turut merampas dua pucuk pistol, sejumlah peluru, kelongsong peluru serta tiga bilah parang yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Hazani berkata pistol jenis semi-auto colt 45 adalah senjata yang tidak digunakan oleh mana-mana pasukan keselamatan di Malaysia dan hanya digunakan oleh negara jiran.

“Kesemua suspek berumur 20 hingga 40-an adalah dipercayai ahli dari kumpulan sama yang ditumpaskan oleh polis dan anggota keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di kawasan sama 8 Mei lalu.

“Dengan tumpasnya suspek ini kita percaya kita sudah melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf serta kumpulan pengganas Daesh (ISIS) yang bersembunyi di Sabah,” katanya.

Tambahnya salah seorang suspek yang ditembak mati dipercayai ‘sub leader' kumpulan Abu Sayyaf iaitu Mabar Binda yang juga adik kepada salah seorang daripada 37 suspek yang ditahan awal bulan ini.

“Kesemua suspek ini juga dipercayai tidak mempunyai kawasan lain untuk bersembunyi dan sedang mendapatkan cara untuk berhubung dengan rakan lain di Sabah selepas dikehendaki oleh pasukan keselamatan Filipina disebebkan kegiatan kejam mereka termasuk membuang bom terhadap lori tentera di negara jiran terbabit.

“Suspek juga dipercayai tidak mendapat bekalan makanan dalam tempoh terdekat berikutan tiada bekalan makanan ditemukan di lokasi kejadian selain individu yang dipercayai pembekal makanan turut terbunuh dalam insiden ini,” katanya.

Tambahnya beberapa suspek yang ditumpaskan juga dipercayai mereka yang melarikan diri pada malam operasi pertama dijalankan 8 Mei lalu.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai berjaya menetap di kawasan setinggan terbabit hasil bantuan daripada penyokong kumpulan ini yang tinggal di daerah itu.

“Mereka menjadikan Beaufort sebagai kawasan persembunyian selepas melarikan diri dari pihak berkuasa Filipina berikutan pantai barat agak tenang kerana ketiadaan pasukan Esscom sepertimana di pantai timur Sabah.

“Sepanjang berada di sana, mereka giat menjalankan aktiviti merekrut ahli baharu tambahan pula salah seorang dari lapan suspek yang ditangkap pada 8 Mei lalu adalah individu yang bertindak untuk menggalakkan kemasukan ahli baharu,” katanya.

Hazani berkata pihaknya kini memperketatkan kawalan di kawasan sekitar bagi mengesan saki baki ahli kumpulan ini yang dipercayai masih melarikan diri dari pihak berkuasa.

“Saya juga sudah arahkan semua ketua polis daerah di negeri ini untuk memantau semua kwasan setinggan di tanah milik kerajaan mahupun tanah persendirian jika didiami oleh kumpulan ini.

“Ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung serta penghulunjuga diingatkan untuk memantau pergerakan individu mencurigakan di kampung masing-masing dan penduduk sekitar Beaufort juga dinasihatkan untuk tidak takut serta melaporkan sebarang pergerakan individu mencurigakan kepada pihak polis dengan kadar segera,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement