Anda di sini

Hanya satu kes dikesan di bawah skim kawalan harga musim perayaan di Mukah

Advertisement
 

MUKAH: Hanya satu kes dicatatkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan di bahagian Mukah ketika Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SKMMP) Hari Raya Puasa 2021 lalu.

Menurut Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mukah Salihin Den (gambar), ia melibatkan kesalahan kegagalan peniaga melabel atau meletakkan tag merah jambu ke atas telur gred B di kawasan Matu.

"Kesalahan adalah di bawah Perintah 2 (2) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Terkawal)," katanya kepada Utusan Borneo.

Peniaga katanya dikompaun RM100 secara terus manakala sebanyak 660 biji telur gred B dianggarkan bernilai RM216.50 dirampas oleh pihaknya.

Bagaimanapun, Salihin mengatakan secara keseluruhan, peniaga di bahagian Mukah telah menunjukkan kepatuhan yang tinggi ketika SHMMP Hari Raya Puasa 2021 lalu.

Pihaknya turut mengucapkan terima kasih atas usaha semua peniaga yang telah memberikan kerjasama dan mengikuti arahan ditetapkan sepanjang skim dilaksanakan sejak 21 April.

Diharap semua peniaga juga akan meneruskan usaha mereka itu ketika SHMMP yang lain pada masa hadapan.

Dalam pada itu, KPDNHEP Mukah telah melakukan 1,815 pemeriksaan sejak Januari 2021 sehingga 17 Mei 2021.

Daripada itu, sebanyak 34 kes dicatatkan melibatkan nilai rampasan RM 66,836.05 dan nilai kompaun RM10,100.

  • oleh
  • Advertisement