Anda di sini

Dua Kluster baharu melibatkan komuniti dan seorang guru

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Dua kluster baharu COVID-19 yang dikesan pada 17 Mei 2021 adalah melibatkan komuniti dan seorang guru.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Sungai Langgas Kunak melibatkan komuniti di Kg Langgas.

"Kes indeks merupakan anak perempuan kepada Imam Masjid Al-Mansa, 21, yang disahkan positif RTK-Ag 100 peratus selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kunak pada 4 Mei 2021.

"Saringan kontak rapat yang bermula 7 Mei 2021 mendapati lima kes positif RT-PCR termasuk bapa kepada kes indeks serta ahli keluarga yang lain. 

"Saringan sampel kedua (ulangan) pada 10 hingga 11 Mei 2021 pula mengesan 11 lagi kes positif RTK-AG iaitu dua kes hasil saringan kontak dan sembilan kes daripada saringan bersasar,"katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, turut dijangkiti ialah dua kes di Fever Center Hospital Kunak pada 10 Mei 2021 dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 19 kes.

Katanya, berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada bapanya 
yang telah merebak kepada para jemaah lain.

Sementara itu katanya, Kluster Jalan Imam Jalilul di Tawau mula dikesan apabila kes indeks iaitu guru lelaki, 41, di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih dan tinggal di Kuaters Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih menjalani saringan bergejala pada 7 Mei 2021. 

"Daripada 32 kontak rapat yang disaring, 10 lagi kes positif berjaya dikesan iaitu dua kes di Kuaters SMK Pasir Putih, enam kes di Kg Tg Batu Darat dan dua kes di Taman Semarak sekaligus mencatat jumlah terkini bagi kluster ini ialah 11 kes.

"Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika berbuka puasa di rumah abangnya, di Jalan Imam Jalilul, Tg Batu Darat pada 2 Mei 2021," katanya.

Selain itu katanya, jangkitan terhadap kes indeks berkemungkinan berlaku ketika kes indeks menunaikan solat terawih setiap hari di Masjid Jideen berhampiran Tanjung Batu Darat.

Setakat ini katanya, pengesanan kontak rapat dan siasatan punca jangkitan sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, Masidi berkata,  jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 17 Mei 2021 adalah sebanyak 60 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,409 kes. Satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Keningau.

"Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh ialah 104 orang menjadikan jumlah kumulatif 58,320 orang.

"Seramai 530 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 244 orang di hospital dan 286 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. 

"Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi pula ialah 42 orang dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement