Anda di sini

Dato' tak diiktiraf didakwa di mahkamah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan gelaran Dato’ tidak diiktiraf.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Riben Rinah yang diwakili peguam, Bartholomew Lopez dan Wejok Tomik.

Sehubungan itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Sataia Kombi yang menggantikan Majistret Zaiton Anuar menetapkan kes disebut semula pada 21 Jun depan, selain membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin RM1,500 berserta dua penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa menggunakan gelaran Darjah Paduka Mahkota Palembang (D.P.M.P) yakni Dato’ dan menikmati gelaran serta panggilan satu anugerah asing yang tidak diiktiraf.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukannya sekitar Ogos 2019, di sebuah syarikat bertempat di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, di sini. 

Difahamkan, pengadu bagi kes ini yang mengenali tertuduh telah membuat laporan polis setelah mendapati tiada rekod nama tertuduh di dalam penerima anugerah atau gelaran tersebut.

Pengadu juga dikatakan telah membuat pengesahan gelaran Dato’ yang digunapakai oleh tertuduh dengan menghantar emel kepada Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Ketua Menteri, namun mendapati tiada rekod tertuduh.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Rogayah Rosli.

Advertisement