Anda di sini

Cubaan nelayan Vietnam lolos gagal

Advertisement
Bot nelayan Vietnam dan tempatan yang ditahan oleh APMM atas pelbagai kesalahan.
Bot nelayan Vietnam dan tempatan yang ditahan oleh APMM atas pelbagai kesalahan.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan sebuah bot nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap bot nelayan asing Vietnam pada jam lebih kurang 8.30 pagi oleh aset APMM pada kedudukan 32 batu nautika dari Kuala Niah.

“Menyedari kehadiran aset APMM, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan cuba untuk melarikan diri dari diperiksa oleh pihak penguatkuasa.

“APMM mengambil masa hampir 50 minit untuk mengejar dan memintas bot tersebut dan berjaya diberhentikan setelah dihimpit rapat,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak mendapat kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Enam kru serta seorang tekong warga Vietnam, berumur dalam lingkungan 29 hingga 45 tahun turut gagal mengemukakan sebarang dokumen perkenalan diri ketika diperiksa,” ujarnya.

Manakala tangkapan kedua melibatkan sebuah bot nelayan tempatan pada jam lebih kurang 10 pagi pada jarak 38 batu nautika dari Kuala Niah. 

Ketika diperiksa, bot tersebut memiliki lesen pendaftaran bot yang sah namun telah mengemukakan surat kebenaran menggunakan kru warga asing yang telah tamat tempoh.

“Bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan enam kru, lelaki warganegara Vietnam yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 62 tahun.

“Pemeriksaan terhadap kru bot tersebut mendapati hanya dua daripada kru mempunyai pasport negara Vietnam yang sah, manakala yang lain tidak memiliki pasport dan hanya memiliki kad pas lawatan untuk bekerja sementara yang telah tamat tempoh,” jelasnya.

Kesemua kru, bot serta diesel lebih kurang 8,000 liter dan juga 500 kilogram ikan campur dianggarkan bernilai RM500,000 dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Pulau Melayu Miri untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Kesemua kru turut menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti,” tambahnya.

Orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

  • oleh
  • Advertisement