Anda di sini

COVID-19: Dua lagi kluster baharu libatkan komuniti di Sarawak

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak hari ini mengisytiharkan dua lagi kluster COVID-19 baharu di negeri ini dengan kedua-duanya di daerah Betong.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya, berkata dua kluster itu ialah Kluster Hulu Spaoh dan Kluster Jelang di daerah Betong.

Mengenai Kluster Hulu, Spaoh JPBNS berkata merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di sebuah kampung di Hulu Spaoh, Betong. Sejumlah 48 individu telah disaring.

Ia berkata 20 daripada 48 individu disaring dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, manakala dua negatif dan 26 masih menunggu keputusan makmal.

"Kesemua kes positif COVID-19 ini dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Betong dan PKRC Betong bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut," katanya.

Manakala Kluster Jelang juga merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di kawasan Jelang, Spak.

JPBNS berkata sejumlah 141 individu disaring dan 22 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 119 lagi negatif.

Kesemua kes dirujuk ke Hospital Betong dan dimasukkan ke PKRC Betong untuk rawatan lanjut dan pengasingan, tambahnya.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan satu kluster tamat iaitu Kluster Sungai Selitut, Tatau. 

"Ini menjadikan 84 kluster COVID-19  yang masih aktif di Sarawak, 12 daripadanya merekodkan 77 penambahan kes baharu sementara 72 lagi  idak merekodkan penambahan kes," katanya. 

Mengenai kes mengikut daerah di negeri ini, JPBNS berkata hari ini daerah Lundu telah kembali ke status jingga daripada status merah selepas merekodkan 29 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah telah menurun kepada 25 dan daerah berstatus jingga telah meningkat kepada dua.

"Manakala, lapan daerah (Julau, Lawas, Matu, Tanjung Manis, Dalat, Daro, Lubok Antu dan Limbang) kekal berstatus kuning dan lima daerah (Marudi, Simunjan, Asajaya, Telung Usan dan Kabong) kekal berstatus hijau," katanya.

  • oleh
  • Advertisement