Anda di sini

Cadangan naik taraf Jalan Kong Yit Khim diharap dapat dilaksana dalam RMK12

Advertisement
 Wong (dua kanan) serta rombongannya ketika meninjau naik taraf Jalan Kong Yit Khim di Sibu, kelmarin.
NAIK TARAF: Wong (dua kanan) serta rombongannya ketika meninjau naik taraf Jalan Kong Yit Khim di Sibu, kelmarin.

SIBU: Cadangan untuk menaik taraf Jalan Kong Yit Khim kepada lebuh raya berkembar empat lorong diharap dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Wong Ching Yong berkata, jalan tersebut perlu dinaik taraf kerana sering ditenggelami air ketika musim banjir dan fenomena air pasang besar.

“Cadangan membinanya menjadi lebuh raya berkembar sudahpun diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika menyempurnakan upacara pecah tanah Jalan Sibu Jaya-Jalan Kong Yit Khim-Jalan Lanang pada Mac tahun lalu.

“Dianggarkan kosnya menelan perbelanjaan ratusan juta ringgit dengan menaik tarafnya menggunakan teknologi terkini bagi mengatasi masalah banjir. Itulah jalan penyelesaiannya untuk mengatasi masalah banjir di sini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu kelmarin, Wong bersama-sama rombongannya telah meninjau jalan tersebut dan Jalan Pulau Dudong terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong yang kini telah dinaik taraf oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, pada minggu lalu JKR telah mula memperbaiki dan meninggikan aras di beberapa bahagian Jalan Kong Yit Khim untuk mengatasi masalah banjir.

 Wong (empat kanan) serta rombongannya ketika meninjau naik taraf Jalan Pulau Dudong di Sibu, kelmarin.
UNTUK RAKYAT: Wong (empat kanan) serta rombongannya ketika meninjau naik taraf Jalan Pulau Dudong di Sibu, kelmarin.

Jelasnya, jalan tersebut sering terputus hubungan membabitkan Sibu-Jambatan Durin akibat ditenggelami air apabila banjir sehingga mencecah ketinggian paras pinggang orang dewasa.

“Jalan ini terletak di tanah gambut. JKR perlu menaik taraf jalan ini setiap tahun atau sekurang-kurangnya dua tahun sekali dan ia menggunakan kos yang banyak untuk menurapnya dengan batu dan seterusnya ditar.

“Difahamkan, kos menaik taraf di beberapa bahagian jalannya ditenggelami air adalah sebanyak RM1 juta setiap kali kerja-kerja naik tarafnya dilaksanakan,” katanya yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong.

Wong memberitahu, beliau akan memperjuangkan serta memastikan projek naik taraf Jalan Kong Yit Khim kepada lebuh raya akan dapat direalisasikan dan menjadi perkara utama dalam manifesto pilihan raya beliau nanti.

Ini susulan nama beliau dicadangkan oleh SUPP Cawangan Dudong dan disokong kuat oleh Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian untuk mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding di kerusi DUN Dudong yang merupakan kerusi tradisi SUPP sejak 1970 pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kelak.

Sementara itu, dalam tinjauan beliau serta rombongannya ke Jalan Pulau Dudong, Wong mendapati jalan tersebut sudah dinaik taraf dan tiada lagi berlubang dan rosak.

Katanya, jalan tersebut kini dapat dilalui oleh kenderaan ringan yang mana sebelum ini tidak dapat dilalui kerana rosak teruk dan berlubang.

Bagi menaik taraf jalan itu, jelasnya, beliau telah memohon dana daripada JKR.

“JKR telah bersetuju dan kosnya menelan perbelanjaan sebanyak RM1 juta untuk menurapnya dengan batu dan menampal lubang-lubang yang terdapat di sepanjang jalan tersebut dan ia kini sudah siap diperbaiki. Kami dapat memandu dengan selesa apabila menggunakan jalan ini,” tambahnya.

Advertisement