Anda di sini

Bersihkan sungai daripada tumbuhan liar sekurang-kurangnya dua kali setahun: Lee

Advertisement
 Lee (kiri) melihat laporan projek pembersihan sungai di Sungai Kecil Miri, sambil disaksikan oleh Hiew (kanan) dan yang lain.
TINJAU: Lee (kiri) melihat laporan projek pembersihan sungai di Sungai Kecil Miri, sambil disaksikan oleh Hiew (kanan) dan yang lain.

MIRI: Pihak berkuasa berkaitan perlu melakukan usaha-usaha membersihkan Sungai Miri dan anak-anak sungainya daripada tumbuh-tumbuhan liar terapung di sepanjang sungai, sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin meng-usulkan perkara tersebut setelah menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa tumbuh-tumbuhan liar terapung tersebut akan tumbuh semula setelah sebulan dikeluarkan dari sungai.

“Pada masa ini, usaha membersihkan tumbuhan terapung ini dilakukan hanya setahun sekali. Melihat kepada situasi terkini mengenai masalah ini, saya mencadangkan agar JPS Miri melakukan kebersihan sungai dua kali setahun,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan tapak projek pembersihan sungai di Sungai Miri Kecil di Jalan Taman RBA di Jalan Lutong semalam.

Lee yang juga ADUN Senadin menyuarakan keprihatinan beliau kerana tumbuh-tumbuhan liar terapung seperti keladi bunting, rumpai air dan kangkung yang tumbuh meliar, menyebabkan halangan sepanjang laluan air dan sungai berkenaan, sekali gus boleh mengakibatkan banjir kilat.

Beliau sudahpun meminta JPS untuk mengkaji cara mengatasi masalah tumbuhan air yang tumbuh meliar dan membiak dengan cepat, yang tidak hanya memberikan kesan di sungai tetapi turut menjejaskan di sistem perparitan di bandar raya ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kajian masih dilakukan oleh kementeriannya untuk mengatasi masalah tumbuhan gondok air seperti keladi bunting dan kiambang, yang menyebabkan halangan navigasi dan menimbulkan membimbangkan terhadap keselamatan pengangkutan awam di sungai-sungai di seluruh Sarawak.

Mengenai projek pembersihan sungai katanya, sebanyak sembilan projek di bawah JPS Miri telah diluluskan untuk kawasan Senadin.

Beliau menjelaskan pelaksanaan projek telah diminta berikutan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa tempat di kawasan Permyjaya, Desa Pujut, Senadin dan daerah Tudan pada Januari tahun ini.

Turut mengiringi beliau melawat lokasi-lokasi itu ialah Jurutera JPS Bahagian Miri Hiew Si Tien.

Advertisement