Anda di sini

Ziarah Aidilfitri ingkar SOP, polis buka kertas siasatan 

Advertisement
 

KUCHING: Polis membuka kertas siatan berhubung satu kes melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan ziarah Hari Raya Aidilfitri 2021 di Kota Samarahan baru-baru ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini memaklumkan aktiviti ziarah itu telah dimuatnaik ke Facebook.

"(Ziarah Aidilfitri itu) memaparkan beberapa orang di dalam gambar tersebut tidak memakai pelitup muka serta tidak ada penjarakan fizikal.

"Semua individu yang berada di dalam gambar tersebut akan disiasat dan kompaun akan dikeluarkan," kata JPBNS menerusi kenyataan.

SOP PKPB berhubung sambutan Hari Raya Aidilfitri cuma membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal dan cuma untuk kalangan ahli keluarga terdekat.

JPBNS turut memaklumkan polis mengeluarkan lima kompaun di daerah Kuching, Padawan (3) dan Miri (2) kerana melanggar SOP.

Lima kompaun kerana tidak memakai pelitup muka, tiga tak mendaftar MySejahtera dan dua  premis beroperasi lebih masa.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan dikeluarkan sejak 18 Mac 2020 hingga hari ini, 6,555 kompaun.

Manakala, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak pula telah mengeluarkan 17 kompaun menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sepuluh kesalahan kerana tidak mengemaskini buku daftar/ buku daftar daftar tidak lengkap, enam tidak menggunakan pelitup muka dan satu tidak mendaftar MySejahtera/buku daftar.

Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan oleh PBT sejak 1 Februari 2021 hingga hari ini ialah 535.

Advertisement