Anda di sini

Video sokong GPS, bertujuan melemahkan Soon Koh

Advertisement
 

SIBU: Video tular mengenai sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah video lama yang sengaja ditularkan semula oleh pihak tertentu.

Itu penjelasan Presiden Parti Rakyat Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh (gambar) sambil menegaskan ia sengaja ditularkan menerusi media sosial bagi melemahkan semannya dengan melabelkan PSB sebagai pro GPS.

Bekas menteri kabinet negeri Sarawak itu sekali lagi menegaskan PSB merupakan parti bebas dan tidak memihak kepada GPS atau mana-mana gabungan parti politik lain yang tidak sama halu tuju perjuangan politik.

PSB tidak pernah berusaha untuk bergabung atau menyertai GPS tetapi berusaha dan akan menggantikan GPS sebagai kerajaan negeri di Sarawak jika menang pilihan raya negeri kelak, katanya.

Prinsip PSB amat jelas iaitu tidak akan tunduk atau diperintah oleh mana-mana ahli politik atau parti dari Semenanjung Malaysia.

"PSB adalah untuk Sarawak yang diasaskan oleh rakyat Sarawak yang berbilang kaum untuk bersatu di bawah payung yang sama demi membawa perubahan baru dan lebih baik kepada Sarawak.

"Selain itu, PSB sentiasa berpandukan tujuan asal penubuhannya iaitu untuk membawa perubahan kepada rakyat Sarawak setelah 58 tahun di bawah pemerintahan gabungan di antara Barisan Nasional (BN)/GPS yang hanya membangun sedikit walaupun Sarawak adalah salah satu rakan kongsi terkaya di Malaysia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

PSB menurutnya akan terus berusaha gigih untuk menjatuhkan GPS yang bekerjasama dengan Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, Wong menjelaskan PSB tetap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai visi sama dalam pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, kerjasama ini bertujuan untuk mencapai objektif bersama iaitu menggantikan GPS sebagai kerajaan negeri.

"Kita (PSB) tidak akan terganggu dari misi parti dan akan terus bekerja keras bersama rakyat Sarawak bagi mencapai objektif bersama," tegas beliau.

Katanya, PSB sudah bersedia sepenuhnya untuk misi ini bagi membuka jalan untuk membawa perubahan kepada Sarawak.

"Saya dengan rendah hati meminta rakyat Sarawak yang memiliki objektif sama dengan kami berdiri teguh bersama bersama kami untuk membuat jalan baru dalam sejarah Sarawak di bawah 'Sarawak Baru'," ujar beliau.

  • oleh
  • Advertisement