Anda di sini

Tiga ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di Kuching

Advertisement
Antara orang awam yang diperiksa kandungan alkohol menggunakan alat EBA pada Ops Mabuk malam Ahad.
Antara orang awam yang diperiksa kandungan alkohol menggunakan alat EBA pada Ops Mabuk malam Ahad.

KUCHING: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengesan tiga pengguna jalan raya yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol pada Ops Mabuk di Jalan Simpang Tiga, malam Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 35 hingga 54 tahun tersebut ditahan dan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut. 

“Hasil ujian menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati dua daripada lelaki tempatan tersebut positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi 55mg/100ml dan 137mg/100ml manakala seorang lagi negatif dimana tidak melebihi kandungan alkohol yang ditetapkan.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Merbin selain itu memberitahu, operasi yang diadakan dari jam 9 malam hingga awal pagi tadi juga merekodkan 27 keping saman pelbagai kesalahan dikeluarkan. 

Antara kesalahan tersebut katanya, termasuk tidak memakai tali pinggang keledar sebanyak sekeping, tiada nombor pendaftaran (2), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (6), gagal tunjuk lesen memandu (6), lesen memandu tamat tempoh (1), tidak pamer cukai jalan (1), LKM tamat tempoh (2), tidak pamer huruf P (1), ubah suai ekzos (4), aksesori tak sempurna (2) dan tiada cermin sisi (1).

Tambah Merbin juga, sebanyak 71 buah kenderaan dan 84 orang diperiksa sepanjang operasi tersebut.

“Walaupun Ops Mabuk ini kerap kali diadakan, masih terdapat individu yang dikesan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol. 

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuching akan meneruskan operasi seumpama ini bagi menyampaikan mesej kerajaan untuk membendung gejala pemandu mabuk dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini,” tegas beliau. 

  • oleh
  • Advertisement