Anda di sini

PKP dicadang di Miri, jika kes terus meningkat: Lee

Advertisement
 Lee (dua kanan) semasa membuat pemantauan dan pemeriksaan di salah sebuah pasar raya di Miri, semalam.
PERIKSA: Lee (dua kanan) semasa membuat pemantauan dan pemeriksaan di salah sebuah pasar raya di Miri, semalam.

MIRI: Jika peningkatan kes di bandar raya ini terus melonjak naik, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama seperti yang telah dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi JPBB Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata ia adalah jalan terakhir yang terpaksa dilakukan.

“Kita berharap usaha yang dilakukan kerajaan sekarang berjaya menurunkan kes-kes positif yang trendnya amat membimbangkan.

“Kalau tiada cara lain kita mungkin terpaksa mencadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) supaya kita mengadakan satu PKP di Miri dan sudah pasti kita tidak mahu melaksanakan PKP ini yang akan menyusahkan semua pihak serta menjejaskan semua sektor khususnya sektor ekonomi,” ujar Lee.

Bagaimanapun ia tidak dapat dielakkan jika kes terus melonjak.

JPBB Miri amat komited dalam usaha untuk menurunkan kes-kes di Miri dan pelbagai tindakan kawalan serta pencegahan dilakukan termasuklah melalui aktiviti pemeriksaan, pemantauan, nasihat serta tindakan mengenakan kompaun kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Lee memberitahu demikian selepas turun padang untuk mengetuai sendiri pemeriksaan ke pasar raya-pasar raya di sekitar bandar raya ini.

Beliau mahu semua pemilik kompleks beli-belah dan pasar raya mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) COVID-19, bagi memutuskan rantaian penyebaran wabak berkenaan, yang menyaksikan kes semakin meningkat di sini.

Beliau bersama-sama pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii telah melakukan lawatan ke atas empat buah pusat beli belah di sini, semalam.

Lawatan yang turut disertai oleh agensi-agensi penguat kuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Miri Angkatan Pertahanan Awam, Miri (APM), Pejabat Daerah Miri serta Pasukan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Miri (MBM) bertujuan memeriksa pematuhan SOP.

Ia juga bagi memastikan orang awam dan pihak berkaitan mematuhi syarat-syarat diperketatkan seperti yang telah diumumkan JPBNS di samping memberikan keterangan berhubung aspek kawalan kemasukan bilangan pelanggan berdasarkan kapasiti premis masing-masing.

“(Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah melalui panggilan telefon sebentar tadi berpesan bahawa pemeriksaan dan penguatkuasan perlu dilakukan bagi memastikan SOP PKPB yang digariskan dipatuhi dengan baik,” ujar Lee.

Sehubungan itu beliau berharap semua pihak akan memberikan kerjasama yang padu dalam mematuhi SOP PKPB ini.

“Apa yang penting buat masa sekarang, Miri telah pun memperketatkan SOP dan mudah-mudahan dengan disiplin dan kerjasama orang ramai kita akan dapat mengawal keadaan pandemik ketika ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai salah satu pasar raya yang telah dilawati iaitu Ng Sian Hap (Miri) Sdn Bhd, beliau memuji kepantasan pengurusan pasar raya berkenaan dalam mematuhi arahan terkini yang dikeluarkan oleh MBM iaitu mengehadkan jumlah bilangan pelanggan yang masuk kepada hanya 200 orang pada satu-satu masa dengan mengagihkan nombor-nombor yang disediakan dengan kad berwarna berlainan di semua laluan pintu masuk pasar raya itu.

“SOP ini bukan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya adalah untuk menjaga keselamatan semua. Kalau semua pihak memberi kerjasama baik dan mematuhi SOP, maka kes-kes boleh turun dan sudah pasti kita boleh beri kelonggaran.

“Kalau kes semakin meningkat, maka SOP lebih ketat akan dikenakan,” jelas Lee lagi.

JPBB Miri katanya, memandang serius situasi pandemik COVID-19 dan pasukan penguat kuasa akan membuat rondaan ke premis-premis dengan lebih kerap malah kompaun akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP COVID-19.

Dalam pada itu, Lee juga ingin mengingatkan masyarakat di Miri mengenai pendaftaran vaksin, supaya mereka yang belum mendaftar agar segera mendaftar melalui MySejahtera atau melalui empat kaedah lain seperti yang diumumkan JPBB Miri sebelum ini sekiranya tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai capaian Internet.

“Vaksinasi sedang dijalankan dan harapan kita agar lebih ramai akan dapat divaksin. Minta kerjasama orang ramai di Miri untuk segera mendaftar supaya kita tahu bilangan rakyat untuk divaksin.

“Vaksin ini adalah penting, kerana selain melindungi diri, juga untuk melindungi orang lain. JPBB Miri mengingatkan masyarakat termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus kekal berwaspada, mematuhi SOP Pencegahan COVID-19 sebagai norma baharu,” katanya lagi.

Advertisement