Anda di sini

Penduduk Tatau kesal masalah bekalan air kotor terus berlarutan

Advertisement
Keadaan kawasan tadahan air Sungai Sap yang tercemar dan dipenuhi kelodak dan lumpur sekali gus menyebabkan bekalan air bersih menjadi kotor.

TATAU: Penduduk di daerah Tatau melahirkan kekesalan terhadap masalah bekalan air yang kotor seakan-akan tiada kesudahan sejak lapan tahun lepas.

Menurut seorang penduduk, Badol Luang, 59, aduan demi aduan sudah dipanjangkan kepada pihak berwajib, namun ia seakan-akan tiada tindakan dari pihak terbabit.

Senario ini katanya diburukkan lagi dengan aktiviti pembalakan yang dijalankan berhampiran kawasan tadahan air  Sungai Sap Daerah Tatau yang menyebabkan bekalan air bersih di kawasan Tatau menjadi kotor dan berlumpur.

Katanya sebagai pengguna, beliau merasakan perlu menyuarakan masalah ini kerana ianya melibatkan isu kesihatan iaitu penduduk yang menggunakan bekalan air bersih sama ada untuk diminum, mencuci pakaian dan sebagainya.

Dalam masa sama katanya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo turut dilihat menjadi antara faktor yang menyebabkan bekalan air menjadi kotor.

Namun yang menjadi penyumbang utama kepada pencemaran bekalan air ialah kawasan ladang kelapa sawit berhampiran kawasan tadahan air Sungai Sap.

"Tidakkah pihak pengurusan ladang terfikir akan bentuk pencemaran yang memudaratkan kesihatan penduduk seperti racun dan baja sawit serta sebarang bentuk pencemaran lain yang mengalir ke kawasan tadahan air berkenaan?," soalnya.

Justeru katanya, beliau berharap agar pihak berkuasa memandang serius akan perkara ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi mengatasi masalah pencemaran di kawasan tadahan air ini.

Nyanau Jabong, 62, turut berharap agar masalah bekalan air yang sering kotor di kawasan Tatau dapat diatasi dengan segera kerana ianya melibatkan seluruh warga daerah Tatau.

Katanya, permasalahan ini telah berlanjutan sejak sekian lama dan harus diselesaikan dengan segera.

"Pihak berwajib harus memandang berat akan aspek kesihatan serta keselamatan penduduk yang menggunakan bekalan air berkenaan setiap hari," tegas beliau.

Beliau menambah, bahawa masalah pencemaran ini sudah diajukan kepada Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia bagi tindakan lanjut.

Secara amnya, pengguna air di kawasan terbabit tidak berpuas hati dan meragui kebersihan dan keselamatan air kerana kawasan tadahan air berkenaan yang merupakan sumber air utama penduduk telah diceroboh dan tercemar akibat kegiatan perladangan kelapa sawit.

Akibatnya, Sungai Sap yang menjadi sumber bekalan air bersih itu menjadi cetek serta dipenuhi kelodak tanah yang bekemungkinan sudah tercemar dan tidak selamat untuk digunakan.

Utusan Borneo Online dalam proses mendapatkan penjelasan pihak berkuasa bekalan air berhubung permasalahan ini.

  • oleh
  • Advertisement