Anda di sini

Pelbagai pihak sokong pendirian kerajaan berhubung isu Palestin

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak dan pertubuhan semalam menyatakan sokongan kepada kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin selain senada dengan pendirian kerajaan yang mahukan kekejaman Israel dihentikan serta-merta.

Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri kelmarin mengenai pelbagai bantuan dan usaha serantau adalah bukti kesungguhan Malaysia yang mahukan penyelesaian tuntas dan keadilan untuk rakyat Palestin.

PN dalam kenyataan semalam turut menyeru dan mendesak pemimpin negara seluruh dunia supaya segera mengutuk kezaliman dan keganasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

“Kami teguh bersolidariti dengan rakyat Palestin yang terus menerus dizalimi dan diusir dari tanah air mereka sendiri. Pembersihan etnik dan sistem aparteid amalan rejim Zionis mesti dihentikan segera,” menurut kenyataan itu.

PN turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin dan berdoa agar mereka diberikan kesabaran, pertolongan serta kemenangan dalam usaha memelihara maruah dan hak selain menyumbang melalui kempen #Aid4Palestine atau melalui saluran lain yang sah.

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara pula menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk badan bukan kerajaan, badan-badan korporat dan parti politik supaya bersatu suara mengutuk tindakan keji Israel terhadap rakyat Palestin.

Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris dalam kenyataan semalam berkata, kaukus selari dengan pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi dan moral.

“...penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan,” katanya.

Turut senada Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha-usaha kerajaan dalam memastikan hak dan perjuangan rakyat Palestin sejak berdekad dalam mempertahankan kota suci ketiga umat Islam itu.

Timbalan Presiden PPMM Muhamad Hisham Marzuki dalam kenyataan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang secara terbuka melalui perutusan khas  Perdana Menteri semalam mengukuhkan pendirian ke atas perjuangan rakyat Palestin dengan memberikan sokongan diplomatik, logistik dan moral.

Majlis Belia Malaysia (MBM) pula menyeru golongan belia di negara ini agar menyumbang  dengan kapasiti masing-masing seperti berdoa, menderma, perkongsian maklumat dan aktivisme dalam talian termasuk menggunakan TikTok untuk  menghentikan keganasan dan membela kemanusiaan di Palestin.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang juga rakan sinergi MBM telah melancarkan kempen #MyAqsaDefender bagi tujuan mengumpul dana kilat kewangan untuk pembangunan ekonomi dan pendidikan dengan sasaran RM10 juta.

“MBM sebagai pemegang taruh belia-belia ingin menyeru rakyat Malaysia merentasi sempadan kaum dan agama agar cakna  dengan isu global yang berlaku kini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan berkata, masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak boleh berdiam diri dan tidak lalai dengan kekejaman yang dilakukan Israel.

“Majlis Keselamatan PBB mesti bertindak pantas dan tegas terhadap Israel termasuk menuntut tindakan segera menghentikan pencerobohan oleh Israel,” katanya. — Bernama

Advertisement