Anda di sini

MPS, JCI Sibu turun padang daftar peniaga untuk program imunisasi

Advertisement
 Ting (dua kiri, baju putih) membantu peniaga di Pasar Sentral Sibu pendaftaran program imunisasi COVID-19.
BANTU: Ting (dua kiri, baju putih) membantu peniaga di Pasar Sentral Sibu pendaftaran program imunisasi COVID-19.

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting meluangkan masa bersama kakitangan MPS dan ahli-ahli JCI Sibu ke Pasar Sentral Sibu dan Pasar Tamu Indah untuk mendaftar peniaga bagi program imunisasi COVID-19 semalam.

Dalam kenyataannya menerusi Facebook, Ting berkata mereka mendaftar seramai 25 peniaga di Pasar Tamu Indah dalam program tersebut.

“Kami juga mendapati pendaftaran dalam kalangan peniaga Iban jauh lebih baik daripada peniaga Cina. Ini menunjukkan tahap kesedaran lebih baik dalam kalangan mereka,” katanya.

Menurutnya, semua yang enggan mendapat vaksin mengaku mempunyai salah satu komorbiditi sehingga menjadikan mereka tidak layak mendapat vaksin COVID-19.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus melakukan publisiti mengubah corak pemikiran ini,” jelasnya.

Sementara itu, hampir 100 peniaga di Pasar Sentral Sibu telah melakukan pendaftaran dengan 71 mendaftar dengan borang dan 25 melalui aplikasi MySejahtera.

Ting berkata, rata-rata peniaga di Pasar Sentral Sibu meluahkan kekecewaan dengan penjualan perniagaan perlahan yang mereka alami sejak pasar dibuka semula.

“Perkara ini sememangnya dijangka dengan orang ramai menghindari tempat ini kerana banyak kes positif COVID-19 pada Mac dan awal April lalu,” katanya.

Untuk menjadikan pasar selamat bagi pelanggan, Ting berkata satu-satunya cara adalah semua peniaga diberi vaksin secepat mungkin.

“Saya mencadangkan semua pasar di bawah bidang kuasa MPS, setiap peniaga mesti diberi vaksin jika tidak, mereka tidak dapat melakukan perniagaan sehingga mereka melakukannya.

“Saya merancangkan ini untuk semua gerai makanan dan minuman merangkumi kedai kopi, restoran, bistro dan bar.

“Kami mahukan persekitaran selamat untuk pelanggan. Semua ini hanya boleh berlaku apabila kita diberi vaksin,” jelasnya.

Advertisement