Anda di sini

Francisca tamatkan perjuangan di Miss Universe setelah gagal ke separuh akhir

Advertisement
Francisca tampil dengan kostum ciptaan Carven Ong untuk slot Kostum Kebangsaan. - Gambar @inquiredotnet (Twitter)
Francisca tampil dengan kostum ciptaan Carven Ong untuk slot Kostum Kebangsaan. - Gambar Twitter @inquiredotnet 

KUCHING: Wakil Malaysia iaitu gadis kelahiran Kuching, Francisca Luhong James, 25, gagal melangkah ke pusingan separuh akhir 21 teratas di pertandingan Miss Universe tahun ini di Florida, Amerika Syarikat.

Disiarkan secara langsung dari Florida, Amerika Syarikat, 21 peserta yang berjaya ke semi final ratu cantik nombor satu dunia itu adalah peserta dari Colombia, Peru, Australia, Perancis, Myanmar, Jamaica, Mexico, Republik Dominika, Amerika Syarikat, Indonesia, Argentina, India, Curacao, Puerto Rico, Filipina, Brazil, Great Britain, Nicaragua, Thailand, Costa Rica dan Vietnam.

Sementara itu, peserta dari Republik Dominika, Jamaica, India, Peru, Australia, Puerto Rico, Thailand, Costa Rica, Mexico dan Brazil berjaya melangkah ke tempat 10 teratas untuk dipilih ke pusingan akhir (lima orang peserta).

Francisca yang merupakan pemenang Miss Universe Malaysia 2020 berjaya melepasi pusingan awal dengan kemunculannya dengan kostum "Kampungku" untuk slot Kostum Kebangsaan pada Jumaat lalu.

Kostum itu direka oleh pereka tanah air terkemuka Carven Ong, bersama replika rumah kampung dalam bentuk 3D yang mengagumkan, menggambarkan seni bina tradisional Malaysia.

Dilahirkan pada 14 Oktober 1996, Francisca dibesarkan dalam komuniti Orang Ulu di Belaga. Ayahnya James Bungan Orang Ulu dari Ulu Sungai Asap manakala ibunya Pauline Japok, Iban dari Kanowit.

Francisca kini bekerja di sebuah syarikat perhubungan awam dan pemasaran di Kuala Lumpur.

Pada Sabtu, Francisca memberi persembahan cemerlang pada pusingan penentuan ke separuh akhir dengan memperagakan pakaian renang dan gaun malam dalam dua segmen untuk dinilai juri.

Memperagakan rekaan Rizman Ruzaini pada segmen gaun malam, gadis keturunan Dayak itu cukup anggun dan elegan. Bahkan, gaun yang digayakan itu adalah gaun kejutan dan ramai memuji.

Dalam pertandingan akhir hari ini peserta dari Mexico, Andrea Meza dinobatkan Miss Universe ke-69 selepas mengatasi 73 peserta lain. 

Advertisement