Anda di sini

Dyche akan buat laporan mengenai insiden di antara Alioski dan McNeil

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Burnley dan Leeds Utd di Turf Moor. — Gambar AFP
PADAT AKSI SENGIT: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Burnley dan Leeds Utd di Turf Moor. — Gambar AFP

LONDON: Pengurus Burnley, Sean Dyche, berkata satu laporan akan dibuat kepada Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris selepas pemain tengah Leeds United, Ezgjan Alioski kelihatan mencemuh Dwight McNeil selepas Burnley tewas 0-4 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Insiden kontroversi itu berlaku dalam separuh masa kedua perlawanan di Turf Moor apabila McNeil menjerit marah ke arah Alioski selepas melakukan satu terjahan keras ke atas pemain antarabangsa Macedonia itu.

McNeil kelihatan mencadangkan bahawa Alioski sengaja merebahkan diri tetapi pemain tengah Leeds itu bingkas dan memberi respons dengan menutup telinga dan menjelir lidahnya.

Kedua-dua pihak di bangku simpanan berbalah dan pengadil perlawanan, Graham Scott kemudian memanggil Dyche dan rakan sejawatannya di Leeds, Marcelo Bielsa dan juga kapten kedua-dua pasukan, Ben Mee dan Luke Ayling, sebelum permainan disambung semula.

“Satu laporan telah disampaikan kepada pengadil dan akan diserahkan kepada FA,” kata Dyche, yang enggan berkata pemain mana yang terlibat.

“Salah seorang pemain kami membuat laporan dan saya berada di sana menjadi saksi kepada laporan, bukan insiden.

“Laporan telah dibuat kepada pengadil dan ia kekal di situ buat masa ini.”

Ditanya jika ada elemen perkauman dalam aduan itu, Dyche menolak untuk mengulas lanjut dan FA berkata ia akan menunggu laporan sebelum  memberi  komen.

Bielsa berkata beliau tidak melihat reaksi balas Alioski.

Mengintai peluang  menamatkan musim di atas pertengahan liga pada musim pertama kembali dalam Liga Perdana, Leeds memiliki kelebihan empat mata berbanding pasukan di tangga ke-11, Aston Villa, yang  bermain lewat menentang Crystal Palace.

Pada perlawanan lain, Fulham tewas 1-3 kepada Southampton pada perlawanan pertama mereka sejak disahkan tersingkir dari Liga Perdana pada awal minggu.

Harapan West Ham United untuk naik ke tangga kelima liga dan memintas Liverpool berkecai apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Brighton.

Keputusan seri itu menyebabkan mereka kini lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, untuk slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara. — AFP

Advertisement