Anda di sini

Dua rumah panjang di Pakan dikenakan PKPD 

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUCHING: Dua buah rumah panjang iaitu Rh. Luyoh, Dendang Wak dan Rh. Sat, Ulu Kakup di Pakan dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata langkah ini dibuat bagi mengekang penularan COVID-19 di dua rumah panjang tersebut. 

“PKPD bagi Rh. Luyoh, Dendang Wak bermula dari 16 Mei hingga 1 Jun 2021 manakala PKPD bagi Rh. Sat, Ulu Kakup dari 17 Mei hingga 2 Jun 2021,” katanya.

Selain itu, JPBNS turut melanjutkan tempoh PKPD membabitkan tiga buah rumah panjang di negeri ini.

Antaranya Rh. Setia, Ulu Minus di Sarikei yang bermula dari 18 hingga 19 Mei 2021 dan Rh. Dinggai, Sg Amut Atas, Lubok Pisang di Pakan dari 20 hingga 26 Mei 2021.

Turut dikenakan lanjutan tempoh PKPD ialah Rh. Rapit, Sg Kuap, Nyelong di Sarikei dari 19 hingga 21 Mei 2021.

Dalam pada itu PKPD ditamatkan hari ini di Rh. Asin/Rh. Bidu, Batu 13, Jalan Engkamop, Pakan; Rh. Empeni Budom, Lubok Putan, Bintangor, Meradong dan Rh. Nawing, Sg Rian, Bintangor, Meradong; Rh. Jembu Ensor, Rantau Sukat Roban, Betong dan Rh. Sibat, Penurin, Betong.

Mengenai status daerah bagi kawasan jangkitan COVID-19 di negeri ini, JPBNS berkata, hari ini daerah Marudi kembali ke status hijau setelah tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus hijau telah meningkat kepada lima daerah.

“Selain Marudi, daerah yang berstatus hijau ialah Simunjan, Asajaya, Telang Usan dan Kabong,” katanya.

Manakala daerah Julau pula telah kembali ke status kuning daripada jingga selepas merekodkan hanya 17 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus jingga telah menurun kepada satu daerah dan daerah berstatus kuning sebanyak lapan daerah. Sementara 26 daerah lagi kekal berstatus merah,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement