
MIRI: Rakyat Sarawak diseru untuk tidak takut mengambil vaksin COVID-19 bagi mempercepatkan proses kembali ke kehidupan normal dan pastikan mendapat maklumat mengenai vaksin melalui sumber yang sahih.
Penolong Profesor Pengajian Komunikasi, Northern State University, South Dakota, Amerika Syarikat, Dr. Nuurrianti Jalli berkata setiap individu perlu pastikan untuk tidak membaca maklumat-maklumat yang tidak sahih di media sosial atau kumpulan WhatsApp.
"Dapatkan maklumat sahih tentang vaksin dari pakar-pakar perubatan, jurnal-jurnal perubatan dan baca dari sumber yang mempunyai reputasi baik dalam menyampaikan maklumat tepat.
"Jangan takutkan diri sendiri dengan membaca berita atau cerita yang tidak tentu di internet. Semakin ramai kita ambil vaksin, semakin cepat kita kembali ke kehidupan normal," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo melalui WhatsApp di sini pada Ahad.

Nuurrianti yang berasal dari Miri, Sarawak kini menetap di Aberdeen, South Dakota, Amerika Syarikat dan berkhidmat di universiti tersebut sejak tahun lepas.
Ditanya mengenai pengalaman pertama kali meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri di perantauan, beliau menyifatkan ianya satu pengalaman yang menarik kerana berpeluang menghidangkan masakan dan memperkenalkan budaya Malaysia kepada rakan-rakan profesornya.
"Kami di sini sesiapa yang sudah divaksinasi boleh melawat satu sama lain dan CDC (Centers for Disease Control and Prevention) sudah benarkan untuk tidak pakai pelitup separuh muka kalau berkumpul atau ke kebanyakan tempat kalau dah vaksin.
"Kami semua yang ada hari ini (semasa rumah terbuka di rumah beliau) sudah menerima vaksin Pfizer kira-kira dua bulan lepas dan mereka ini semua adalah rakan kerja saya iaitu profesor di Northern State University bersama keluarga mereka," ujarnya.

Nuurrianti berkata di bandar tempat beliau tinggal sekarang iaitu Aberdeen, South Dakota, kira-kira 60 peratus penduduknya menerima vaksin.
"Disebabkan itu, kehidupan sudah hampir kepada kehidupan normal, sesiapa yang dah vaksin tidak perlu menggunakan pelitup separuh muka di kebanyakan tempat kecuali hospital, menaiki pesawat dan beberapa lagi tempat lain," tambahnya.
Selain itu, beliau berkata dengan penganjuran rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di rumahnya secara tidak langsung beliau menjadi duta kecil Malaysia di Amerika Syarikat dengan memperkenalkan budaya dan masakan Malaysia.