Anda di sini

PKR harap GPS tak manipulasi Ordinan Darurat 

Advertisement
 

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diharap tidak memanipulasi Ordinan Darurat 2021 untuk melanjutkan kuasa yang sepatutnya terhenti sebaik penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat pada 6 Jun 2021.

Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit (gambar) dalam kenyataan akhbar hari ini, juga menggesa Abang Johari dan GPS bertindak sesuai keperluan demi rakyat Sarawak atau perlu meletak “Sarawak First” menghadapi pandemik COVID-19 seperti yang dilaung-laungkan mereka.

Menurutnya, ini kerana GPS masih boleh mentadbir sebagai 'kerajaan sementara' (caretaker government) selepas penggal DUN tamat pada 6 Jun kelak.

"Sebagai caretaker government, GPS digesa untuk melibatkan semua pihak termasuk pembangkang agar tiada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan perlu adanya semak dan imbang pada masa tersebut.

"DUN Sarawak juga tidak wajar dari segi moral terus dilanjutkan oleh Ketua Menteri Sarawak melepasi tarikh 6 Jun 2021," ujarnya sebagai mengulas kenyataan media dikeluarkan GPS pada Ahad berhubung pembubaran DUN Sarawak hanya akan dilakukan pada satu tarikh yang sesuai.

Setiausaha Agong GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan itu berkata tarikh berkenaan yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berbincang dengan Yang di-Pertua Negeri.

Justeru, Abun berkata Ketua Menteri Sarawak dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak sewajarnya dari segi tanggungjawab moral patut memohon perkenan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sama ada membubarkan DUN Sarawak pada 6 Jun 2021.

Ini katanya selaras dengan jadual Perlembagaan Negeri Sarawak GPS masih mengaku dan menganggap Sarawak pimpinan mereka masih mempunyai status autonomi seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"PKR Sarawak menggesa Ketua Menteri Sarawak dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bertindak selaras dengan undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak iaitu dalam keadaan norma biasa, DUN Sarawak terbubar pada 6 Jun 2021.

"Pembayaran gaji menteri-menteri Sarawak dan para wakil rakyat Sarawak yang lumayan sepatutnya terhenti pada tarikh  tersebut. Ini penting untuk menjaga maruah dan moral mereka kerana Ketua Menteri Sarawak adalah pemegang kunci ke atas semua tindakan GPS di Sarawak. 

"PKR Sarawak berharap agar GPS tidak memanipulasikan keadaan darurat dan Ordinan Darurat 2021 untuk keuntungan GPS atau mempunyai niat lain yang bercanggah dengan perjalanan Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya.

Abun berkata PKR Sarawak berkata dalam keadaan biasa tanpa Darurat, DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 6 Jun 2021 menurut Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak DUN mula bersidang pada 7 Jun 2016.

Bagaimanapun, katanya memandangkan Malaysia dalam keadaan Darurat dan ditadbir menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa – Kuasa Perlu) 2021 (Ordinan Darurat 2021), maka pembubaran DUN Sarawak tertakluk kepada Ordinan Darurat 2021 tersebut atau kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Ordinan Darurat 2021 ini berkuat kuasa sampai Ogos 2021. Maka hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja dengan kebijaksanaan baginda boleh menentukan DUN Sarawak dapat dibubarkan sebelum 1 Ogos 2021 mahupun selepas itu jika baginda bersetuju untuk melanjutkan Darurat 2021 ini.

"Apabila Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berunding dengan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam jangka masa secepat mungkin sebelum 6 Jun ini, PKR Sarawak menggesa agar Ketua Menteri Sarawak dan TYT Sarawak merafak sembah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar mengeluarkan Perintah (Pindaan) bagi membubarkan DUN Sarawak selaras dengan jadual pembubaran DUN seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Sarawak iaitu 6 Jun 2021.

"Kecuali GPS, pimpinan Ketua Menteri Sarawak ada niat lain untuk membiarkan DUN Sarawak dilanjutkan melepasi tarikh 6.6.2021?" soalnya.

Menurut Abun lagi, pada masa  sama, kebijaksanaan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong boleh juga boleh dipohon oleh Ketua Menteri Sarawak untuk mengeluarkan Perintah (Decree)(pindaan) baharu khas untuk Sarawak bagi menunda Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas 1 Ogos 2021 berdasarkan kepada keadaan penularan COVID -19 di Sarawak ketika itu.

Tambahnya lagi, jika dalam keadaan Ordinan Darurat 2021 sedang berkuat kuasa, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 1 Ogos 2021 sekiranya Yang di-Pertuan tidak mengeluarkan sebarang perintah (Decree) pindaan baharu untuk membubarkan DUN Sarawak selari dengan jadual Perlembagaan Negeri Sarawak.

"Jika Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan perintah (pindaan) baharu khas untuk Sarawak agar DUN dibubar selari dengan jadual Perlembagaan Negeri Sarawak, maka PRN ke-12 seharusnya diadakan dalam masa 60 hari dari 6 Jun 2021 tetapi masih juga sangat bergantung kepada keadaan pandemik COVID-19.

"Sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan perintah (pindaan) baharu waktu terdekat bagi membubarkan DUN Sarawak pada 6 Jun 2021, maka tiada lagi Kabinet Negeri Sarawak dan wakil-wakil rakyat DUN Sarawak mulai tarikh tersebut.

"Semua ini bergantung kepada Abang Johari dan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada untuk membiarkan DUN Sarawak hanya terbubar pada 1 Ogos 2021 supaya Kabinet Sarawak dan semua wakil rakyat DUN Sarawak boleh menikmati gaji sebagai Menteri dan wakil rakyat Sarawak yang sepatutnya terhenti pada 6 Jun 2021 kalau dalam keadaan norma biasa,”soalnya.

  • oleh
  • Advertisement