Anda di sini

Pertimbangkan cadangan guru dan pelajar balik ke Sabah jalani kuarantin 14 hari

Advertisement
SIM FUI
SIM FUI

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan agar semua guru dan pelajar yang balik ke Sabah dari Semenanjung Malaysia atau Sarawak untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri mesti menjalani perintah kuarantin selama dua minggu.

Ketua Pemuda Pergerakan LDP Pusat Sim Fui berkata, cadangan itu dikemukakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali agar mampu mengelakkan sebarang penularan COVID-19 di Sabah.

"Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan cadandgan itu dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam jangka masa pendek ini bagi memastikan semua guru dan pelajar yang balik ke Sabah dikuarantinkan agar dapat menjamin keselamatan kesihatan penduduk Sabah.

"Sabah kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 7 Jun depan, dalam tempoh ini semua institusi pengajian tinggi dan kolej swasta belum beroperasi. 

"Tempoh kuarantin itu juga memberikan jaminan bahawa tidak akan wujud penularan wabak COVID-19 di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, varian COVID-19 dari negara British dan India kini sudah dikesan di Semenanjung Malaysia. Varian COVID-19 dari Afrika Selatan juga telah menular ke negeri-negeri seperti Selangor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah.

Sim Fui menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu sentiasa berwaspada dengan kenaikan kes baharu COVID-19 di seluruh negara setiap hari. Sekiranya varian-varian berkenaan menular di Sabah, ianya sudah pasti akan memberikan kesan yang lebih tenat kepada rakyat Sabah dan juga sistem perubatan.

"Saya percaya pihak berkuasa tahu dimana guru dan pelajar yang balik ke Sabah ini sebab mereka sudah mendaftarkan perincian peribadi sebelum melakukan perjalanan.

"Saya yakin mereka juga telah mendapatkan ujian saringan tiga hari sebelum memasuki Sabah tetapi proses kuarantin dua minggu juga harus dilakukan," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan Sabah perlu mempertimbangkan kebimbangan berkenaan kerana ianya datang dari pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.

Katanya, sekiranya perkara itu gagal didengari, maka usaha kakitangan perubatan selama ini untuk  memerangi COVID-19 hanya sia-sia sahaja.

Sim Fui juga menekankan bahawa pihak imigresen juga perlu memperkasakan peraturan berkaitan bagi memastikan keselamatan masyarakat Sabah. Kegagalan berbuat demikian mampu menjejaskan kehidupan rakyat seterusnya membawa kepada kematian.

  • oleh
  • Advertisement