Anda di sini

Pemilik rumah di kawasan Bukit Assek dinasihat periksa pendawaian elektrik

Advertisement
 Chieng (dua kanan) turun padang melawat mangsa kebakaran di Jalan Tiong Hua.
TINJAU: Chieng (dua kanan) turun padang melawat mangsa kebakaran di Jalan Tiong Hua.

SIBU: Pemilik rumah di kawasan Bukit Assek dinasihati supaya sentiasa memeriksa pendawaian elektrik rumah mereka bagi mengelakkan daripada berlakunya kebakaran.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bukit Assek Kaunselor Joseph Chieng berkata, kebanyakan rumah di kawasan tersebut adalah rumah yang berstruktur kayu dan dibina berdekatan antara satu sama lain.

“Sangat menyedihkan apabila berlaku kebakaran yang memusnahkan enam unit rumah berstruktur kayu dua tingkat di Jalan Tiong Hua pada Khamis lalu.

“Kita bernasib baik kerana insiden itu tidak menyebabkan kematian, berbanding insiden kebakaran lima unit rumah yang berlaku di kawasan berhampiran dua bulan lalu dengan seorang penduduk dilaporkan terkorban,” jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan rumah di kawasan Bukit Assek dibahagikan kepada beberapa bilik dan disewakan kepada mereka yang datang dari luar Sibu untuk bekerja.

“Terlalu banyak bilik dan penggunaan elektrik yang tinggi dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya dan menyebabkan kebakaran.

“Oleh itu, saya menggesa pemilik rumah untuk mempertimbangkan pendawaian elektrik yang baharu dan membuat pemeriksaan secara berkala. Kebanyakan rumah di kawasan terbabit berusia lebih 50 tahun,” ujarnya.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 5 pagi Khamis lepas telah memusnahkan enam unit rumah kayu di Jalan Tiong Hua 1, menyebabkan seramai 20 mangsa dari empat keluarga kehilangan tempat tinggal.

Advertisement