Anda di sini

PdP norma baharu, konsep pembelajaran mesti sentiasa relevan - Muhyiddin

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Konsep pembelajaran tidak harus terperangkap dalam lingkungan 'four walls of room', sebaliknya mestilah relevan pada setiap masa dan setiap tempat sesuai dengan suasana norma baharu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu terus mendengar cadangan dan input warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak demi menambah baik pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran, katanya.

Perdana Menteri berkata sejak pandemik COVID-19 menular ke negara ini  setahun yang lalu, proses PdP banyak bergantung pada pembelajaran secara dalam talian dan menyaksikan guru mula menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan yang membolehkan murid-murid mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu.

"Perubahan yang berlaku jelas membuktikan konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara 'four walls of room'… dalam suasana norma baharu, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas.

"Walaupun guru berhadapan dengan cabaran melaksanakan PdP secara dalam talian, terutama apabila PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) dilaksanakan, saya melihat ramai dalam kalangan guru yang berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran. Saya ucapkan syabas atas ikhtiar dan inovasi saudara dan saudari sekalian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan bersempena Hari Guru  ke-50 bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' yang disiarkan menerusi Facebook Live Kementerian Pendidikan (KPM), saluran TV1 RTM, DidikTV KPM dan stesen penyiaran lain hari ini.

Muhyiddin berkata arus globalisasi telah membentuk hala tuju baharu dalam pendidikan dan dalam aspek itu warga pendidik berperanan penting dalam mengadaptasi kandungan pedagogi berteras teknologi dalam PdP.

Menurutnya pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam pembelajaran abad ke-21 adalah sejajar dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran iaitu pengajaran berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Untuk itu, guru hendaklah menyediakan mindset bahawa alam sejagat ini merupakan kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita. Ini menuntut guru untuk berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu. 

"Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global," katanya.

Dalam mencapai hasrat itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memastikan tiada murid yang dinafikan daripada mendapat pendidikan sewajarnya, termasuklah murid Orang Asli dan pribumi, Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan kanak-kanak tanpa dokumen. 

Beliau berkata kerajaan akan memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid sekali gus memastikan golongan itu turut menerima pendidikan seperti murid yang lain.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin turut mengumumkan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Noorizan Mohamed dan dua penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2021 iaitu Datuk Dr Amin Senin dan Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

"Semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan pendidikan negara dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik," katanya. - Bernama

Advertisement