Anda di sini

PBT boleh ambil tindakan jika laluan awam, parkir dihalang

Advertisement
 Sempurai (dua kiri) menunjukkan troli yang diletakkan di tempat parkir ketika pemeriksaan di Sibu Jaya baru-baru ini.
TEGAS: Sempurai (dua kiri) menunjukkan troli yang diletakkan di tempat parkir ketika pemeriksaan di Sibu Jaya baru-baru ini.

SIBU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh me-ngambil tindakan terhadap individu yang menghalang laluan awam termasuk tempat parkir.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil berkata, tindakan boleh diambil di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan 1999.

“Tempat parkir adalah tempat awam. Kebanyakan pihak majlis yang tidak mempunyai peraturan tempat parkir akan menggunakan undang-undang ini.

“Hukuman bagi meletakkan halangan di tempat parkir ialah RM1,500 bagi kesalahan pertama dan RM3,000 bagi kesalahan seterusnya atau sembilan bulan penjara atau kedua-dua-nya sekali,” ujarnya kepada The Borneo Post.

ADUN Marudi itu berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan terhadap individu yang meletakkan halangan seperti kerusi dan sebagainya di tempat parkir.

Baru-baru ini, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah mengenakan denda terhadap peniaga di Selangau yang menggunakan bakul bagi menghalang tempat parkir.

Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai ketika dihubungi memberitahu perbuatan meletakkan halangan di tempat parkir di kawasan bawah bidang kuasa majlis semakin menjadi-jadi.

“Sejak operasi tahun lepas di Sibu Jaya, perbuatan meletakkan troli, bakul, kerusi dan sebagainya di tempat parkir semakin menjadi-jadi.

“Pihak majlis tidak akan bertolak ansur terhadap pe-niaga yang mementingkan diri sendiri,” tegas Sempurai.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar tidak meletakkan halangan di tempat parkir yang terletak di hadapan premis mereka.

“Tahun lepas, saya telah mengetuai operasi untuk memberi peringatan kepada pemilik premis perniagaan berhubung perkara ini, melainkan mereka telah mendapat permit daripada kita.

“Amalan ini bukan hanya mementingkan diri sendiri tetapi tidak adil serta me-nimbulkan rasa tidak puas hati kepada orang ramai,” ujarnya.

Sempurai turut memberitahu, selain berlaku di Sibu Jaya, masalah sama turut berlaku di pekan Selangau.

Memandangkan jumlah kenderaan semakin bertambah katanya, setiap ruang dan lot parkir amat diperlukan.

Dengan musim perayaan semakin hampir, beliau percaya tempat parkir akan tidak mencukupi dan  perbuatan meletakkan halangan di tempat parkir oleh pemilik premis perniagaan itu tidak boleh diterima.

“MDLBS akan terus berusaha menyelesaikan isu ini mengikut undang-undang yang ada,” ujar Sempurai.

  • oleh
  • Advertisement