Anda di sini

Lelaki cemas litar pintas di bateri kereta dipandu

Advertisement
 Kejadian litar pintas di bahagian bateri yang berlaku terhadap sebuah kereta di Jalan Rentap, petang semalam.
MENCEMASKAN: Kejadian litar pintas di bahagian bateri yang berlaku terhadap sebuah kereta di Jalan Rentap, petang semalam.

SARIKEI: Seorang lelaki berusia 23 tahun berdepan detik cemas apabila berlaku litar pintas di bahagian bateri kereta yang sedang dipandunya di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, insiden berlaku sekitar jam 2.30 petang.

“Ketika memandu di Jalan Rentap berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sarikei, kereta mangsa mengeluarkan bau seperti getah yang terbakar.

“Risau dengan keadaan itu, mangsa berhenti di bahu jalan dan memeriksa enjin keretanya.

“Sejurus bonet keretanya dibuka, mangsa melihat litar pintas berlaku di bahagian bateri keretanya,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Risau kejadian lain akan berlaku seperti kebakaran, mangsa menghubungi pihak bomba untuk membantu memantau situasi tersebut.

Sejurus menerima panggilan kecemasan daripada mangsa, tujuh anggota bomba dikerahkan ke lokasi terbabit.

Menurut Mahmudin, ketika pasukan bomba tiba di lokasi berkenaan, anggota bomba terus melakukan pemantauan rapi.

“Pasukan bomba telah membuat ‘size up’ ke atas kenderaan tersebut dan mendapati tidak ada lagi wujud bahaya.

“Setelah memastikan keadaan selamat pihak bomba telah berangkat balik semula ke balai,” ujar Mahmudin.

Advertisement