Anda di sini

Lanjutan PKPB disokong penuh Kesihatan Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak amat mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing (gambar) yang berkata demikian, menambah keputusan ini adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19.

Menurutnya, setakat 15 Mei, nilai R (kebolehjangkitan) di Sarawak ialah 0.95 dan ia masih tinggi dengan bilangan kes harian yang masih belum menurun. 

"Penemuan pertama virus mutasi COVID-19 yang berasal dari India iaitu B.1.517.2 telahpun dilaporkan di Malaysia pada 2 Mei 2021 yang lalu dan sekiranya varian ini memasuki Sarawak, ia mampu melumpuhkan perkhidmatan kesihatan di Sarawak dengan pantas.

"Oleh demikian, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak amat menyokong keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk terus melanjutkan tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar jangan sekali-kali leka dalam mematuhi garis panduan (SOP) ditetapkan oleh JPBNS dalam usaha membendung wabak COVID-19 dan melindungi setiap nyawa penduduk Sarawak.

Dr Chin berkata sehingga jam 12 tengah hari ini, 405 kes baharu COVID-19 dilaporkan menjadikan kumulatif kes positif COVID-19 di Sarawak adalah sebanyak 38,383 kes. 

Menurutnya sejak 13 Februari lalu sehingga kini, Sarawak telah mencatatkan jumlah kes COVID-19 yang melebihi 100 kes sehari. 

Manakala, pada hari ini terdapat 81 kluster yang masih aktif di seluruh Sarawak berbanding hanya 16 kluster aktif pada pertengahan bulan Februari 2021. 

Kebanyakan kluster tersebut ujarnya terjadi berpunca daripada perhimpunan beramai-ramai semasa majlis perkahwinan, majlis hari jadi dan aktiviti sosial seperti gotong-royong yang sepatutnya boleh dielakkan. 

"Selain itu, terdapat juga kluster yang berpunca dari tempat kerja, majlis pengebumian, rumah panjang dan institusi pendidikan akibat kegagalan mematuhi SOP sedia ada," katanya.

Malah, kes kematian akibat COVID-19 juga menunjukkan peningkatan sejak bulan Februari 2021. 

Dalam tempoh dua minggu yang lepas katanya, bilangan kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 27 kes seminggu. 

Pada hari ini, sebanyak 71 kes COVID-19 masih dalam keadaan kritikal di wad ICU termasuk 26 kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan. 

Manakala, kapasiti katil ICU di Sarawak juga di paras kritikal terutamanya di Hospital Sibu dan Hospital Kapit. 

"Sehingga kini, hanya hospital kerajaan di Sarawak yang hanya dapat memberikan perkhidmatan penjagaan pesakit kritikal akibat jangkitan COVID-19," katanya.

Advertisement