Anda di sini

Langkah drastik perlu dilaksana di Miri untuk kekang penularan COVID - Senator

Advertisement
 

MIRI: Penduduk Miri diyakini bersedia dan menerima pelaksanaan sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di bahagian ini. 

Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling (gambar) berpendapat langkah drastik perlu dilaksanakan melihat kepada peningkatan kes positif yang mengancam keselamatan dan nyawa penduduk. 

"Kerajaan harus meyakinkan keberkesanan PKP kepada penduduk Miri agar mereka juga dapat memberi yang terbaik dengan berada di rumah demi keselamatan semua," jelas Ling hari ini. 

Beliau memberitahu, dalam bulan ini sahaja, Miri telah berada empat kali di kedudukan teratas jumlah kes positif tertinggi di Sarawak. 

Sehubungan itu, beliau menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) untuk merancang tindakan lebih efektif dan drastik untuk menghentikan rantaian jangkitan. 

"Saya menyeru Datuk Lee Kim Shin (Menteri Bertanggungjawab JPBBM) untuk melakukan persiapan dan pencegahan selain hanya menasihati orang awam untuk mematuhi SOP."

Sekiranya PKP dilaksanakan di Miri, pihak berkuasa wajar menyediakan bantuan kepada penduduk khasnya golongan berkemampuan agar mampu bertahan sepanjang tempoh PKP. 

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu menambah, PKP yang dilaksanakan seluruh negara pada tahun lalu berjaya mengawal jangkitan.

Kes kembali meningkat setelah pihak berkuasa membenarkan arahan kuarantin dari rumah khasnya untuk mereka yang kembali ke Sarawak sekali gus dijadikan peluang kepada segelintir melanggar arahan dan mendedahkan jangkitan kepada awam, katanya.

"Pada awal tahun ini, disebabkan kelonggaran dan kesilapan membenarkan kuarantin di rumah bagi mereka yang memasuki Sarawak, maka tercetusnya banyak kluster seperti kluster Pasai yang mengakibatkan keadaan pandemik sangat teruk di Sarawak."

Dalam konteks Sarawak, Ling memberitahu kes jangkitan di seluruh negeri masih di tahap yang membimbangkan. 

Sarawak kerap berada di antara tangga teratas jumlah kes positif di seluruh negara dalam laporan harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana. 

"Sarawak selalu berada kedudukan atas dan mengambil kira bilangan penduduk di Sarawak yang tidak begitu ramai, peratusan dijangkiti COVID-19 amatlah tinggi dan sangat merisaukan."

Situasi yang berpanjangan memberi kesan buruk terhadap kelangsungan peniaga-peniaga tempatan. 

Justeru, kerajaan negeri harus terus memberi bantuan kepada golongan ini termasuk pekerja yang bergantung kepada gaji harian. 

Untuk peringkat negara, kerajaan dilihat belum berjaya mengawal keadaan pandemik dengan baik. 

Selain itu, program imunisasi seluruh negara juga berjalan dengan lambat menyebabkan ramai rakyat hilang minat untuk terlibat dan mendaftarkan diri. 

  • oleh
  • Advertisement