Anda di sini

Kerjasama ATM, KKM dipertingkat dalam menghadapi gelombang ketiga COVID-19 - Affendi

Advertisement
Affendi ketika meninjau Hospital Medan ATM Kapit, hari ini.
Affendi ketika meninjau Hospital Medan ATM Kapit, hari ini. - Gambar ihsan ATM

KAPIT: Kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi gelombang peringkat ketiga penularan pandemik COVID-19 akan dipertingkatkan sebilang masa, kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ini menurutnya, merupakan komitmen ATM dalam tugas-tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. 

Beliau menyatakan perkara ini ketika mengadakan lawatan kerja singkat ke Hospital Medan ATM Kapit, hari ini yang telah beroperasi sejak 10 Mei lalu di Dewan Masyarakat Melayu Kapit. 

Beliau turut menyatakan kemudahan logistik semasa dalam membawa bantuan perubatan dan peralatan kesihatan juga akan diteruskan dengan menggunakan aset ATM mengikut keperluan terutamanya penghantaran udara yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

"Penubuhan hospital medan di lain-lain lokasi juga adalah tertakluk kepada keperluan semasa dan kemampuan sedia ada yang dapat disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam.

Dalam situasi COVID-19 terkini, beliau juga mengharapkan agar setiap lapisan masyarakat memberikan kerjasama dan mematuhi arahan serta SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi memastikan rantaian pandemik COVID-19 dapat diputuskan demi kesejahteraan semua.

Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) telah mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan ATM ke Kapit pada 6 Mei 21 lalu. 

Sementara itu, Hospital Medan ATM di Kapit adalah hospital kedua seumpamanya didirikan selepas kejayaan mengoperasikan konsep hospital yang sama di Tawau, Sabah. 

Melalui atur gerak pasukan Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Kapit, hospital medan itu berperanan menyediakan rawatan kepada pesakit selain kes-kes COVID-19. 

Hospital berkapasiti 40 buah katil itu turut dilengkapi dengan kemudahan wad, farmasi, x-ray dan bilik rawatan kecemasan.

Melalui kemudahan berkenaan, ia membolehkan Hospital Kapit memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kes COVID-19 di samping mempunyai kapasiti katil mencukupi bagi pesakit wabak berkenaan dan kes lebih serius. 

Pengoperasian hospital medan itu juga adalah 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan antara rawatan yang dilaksanakan termasuklah perkhidmatan rawatan pesakit dalam (12 jam sehari mengikut shif bagi pertugas klinik) dan perkhidmatan bahagian pentadbiran dan sokongan (jam 7 pagi hingga 4 petang).

Sejak hari pertama menerima pesakit pada 10 Mei 21 sehingga 14 Mei 21, seramai 7 pesakit ditempatkan di hospital berkenaan dan seorang daripada mereka telah dibenarkan keluar. Pada masa kini jumlah pesakit semasa adalah enam orang.

Pada ketika ini, kes pembedahan belum lagi dilaksanakan di hospital berkenaan. Bagaimanapun, keupayaan hospital boleh dipertingkatkan dengan perkhidmatan dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU) jika ada keperluan semasa.

Sehingga kini, ATM telah menempatkan enam pegawai termasuk Lt Kolonel (Dr) Saiful Anuar Ju @ Ju Ahmad sebagai Komander Hospital Medan berkenaan.

Katanya, mereka terdiri daripada tiga pegawai perubatan, seorang pegawai tugas khas, seorang pegawai tadbir serta 53 anggota terdiri daripada 32 paramedik dan 21 anggota perkhidmatan sokongan manakala KKM menempatkan 10 jururawat dan enam anggota perkhidmatan sokongan. 

Dalam lawatan kerja itu, Affendi turut menyampaikan sumbangan Hari Raya untuk para petugas kesihatan di hospital berkenaan.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.

  • oleh
  • Advertisement