Anda di sini

Kerajaan laksana PKPD di Kg Sg Langgas Kunak dan Lorong 2 Kg Kongsi 8 Tawau

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Sungai Langgas, Kunak berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sehingga 15 Mei 2021, sebanyak 17 kes positif telah dikesan hasil daripada ujian saringan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas 34 individu di lokaliti itu.

"KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

"Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan 
ke kawasan luar," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri juga melaksanakan PKPD di Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau bermula dari 16 Mei sehingga 29 Mei 2021.

Katanya, PKPD dilakukan dikawasan berkenaan berikutan sebanyak 15 kes positif COVID-19 telah direkodkan hasil daripada 56 saringan di lokaliti ini serta dengan kadar positiviti adalah 26.79 peratus.

Selain itu katanya, kerajaan juga melanjutkan PKPD di SMK Madai, Kunak bermula 15 Mei sehingga 28 Mei 2021.

Katanya, kesemua keputusan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah menamatkan PKPD di Kampung Bergosong, Tawau pada 15 Mei 2021.

"Pada 15 Mei 2021, jumlah kes positif baharu COVID-19 adalah sebanyak 60 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,262 kes.

"Sabah juga tidak mencatatkan sebarang kluster baharu," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement