Anda di sini

COVID-19: Keuskupan Agung Roman Katolik Kuching kumpul derma bantu India

Advertisement
 

KUCHING: Keuskupan Agung Roman Katolik Kuching menawarkan kutipan dari tiga misa yang diadakan menerusi siaran langsung dalam talian hari ini untuk membantu negara India yang kini mengalami wabak Covid-19 terburuk di dunia.

Uskup Agung Gereja Roman Katolik, Simon Poh (gambar) berkata mereka yang mahu menyumbang boleh melakukannya menerusi aplikasi e-wallet, Sarawak Pay atau pindahan wang dalam talian mulai hari ini, 16 sehingga 22 Mei ini.

"Kod QR dan butiran perbankan kini boleh dilayari di laman web Keuskupan Agung Roman Katolik Kuching yang kemudian akan diberikan melalui Persidangan Uskup Katolik Malaysia yang kini menerima sumbangan untuk negara India.

"Kita dapat membuat sesuatu bagi orang lain, bermula dari sini. Untuk hari Ahad ini pada 16 Mei, marilah kita menawarkan sumbangan menerusi tiga sesi misa yang dijalankan secara live di Katedral untuk membantu rakyat di India," katanya di pengakhiran misa Bahasa Inggeris yang dijalankan live jam 8 pagi, hari ini.

Poh menambah walaupun semua sedang bertarung untuk kestabilan kewangan semasa wabak COVID-19 tetapi ada baiknya untuk turut membantu mereka yang memerlukan dan menderita di India.

Ujar beliau lagi, semua kita sesungguhnya kita tidak mempunyai sumber untuk membantu menyelesaikan masalah mereka, tetapi kita memberi dengan kasih dan sayang dalam keimanan.

"Ini akan membuat perbezaan yang ketara kepada mereka yang amat memerlukan, mereka akan merasai dan menghargainya.

Beliau percaya dengan memberi sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan, Tuhan dalam kebaikannya akan memenuhi keperluan orang lain dan juga memberkati setiap orang untuk selalu mempunyai lebih dari cukup untuk dikongsi dan membantu orang di sekeliling.

India telah mencatat lebih daripada 300,000 kes COVID-19 setiap hari sejak awal bulan ini, dan hampir 4,000 kes kematian setiap hari.

Advertisement