Anda di sini

SOP ziarah Aidilfitri di tahap memuaskan: Bukit Aman

Advertisement
 Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat tinjauan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah di Presint 9 dekat Putrajaya, semalam bagi memastikan tiada aktiviti kunjung mengunjung dibuat sempena Aidilfitri. — Gambar Bernama
KAWAL: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat tinjauan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah di Presint 9 dekat Putrajaya, semalam bagi memastikan tiada aktiviti kunjung mengunjung dibuat sempena Aidilfitri. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pematuhan orang ramai mengenai prosedur operasi standard (SOP) khususnya kesalahan berkaitan larangan kunjung-mengunjungi atau ziarah Aidilfitri berada di tahap memuaskan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, tiada sebarang kompaun dikeluarkan berhubung kesalahan itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, sehingga kini yang ada hanyalah kompaun dikenakan ke atas kesalahan tidak memakai topeng muka misalnya, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Pemerhatian di kawasan perumahan juga mendapati jumlah kenderaan adalah tidak banyak menandakan tiada aktiviti berkumpul yang ketara oleh orang awam.

“Bagaimanapun pemantauan dan rondaan akan kekal dilakukan dari semasa ke semasa dalam memastikan keadaan ini kekal untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika ditemui Bernama semalam.

Di SELANGOR, polis terus membuat pemantauan di semua kawasan bagi mengelakkan aktiviti kunjung-mengunjungi dilakukan oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya memantau di semua kawasan dan akan juga bertindak berdasarkan maklumat orang awam yang dibuat kepada Bilik Gerakan COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam

Di MELAKA, sebanyak 1,031 rumah diperiksa kelmarin bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selaras dengan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka DSP Nik Ab Halim Nikmat berkata, jumlah itu melibatkan pemeriksaan di 471 rumah di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (322) dan Jasin (238).

Di JOHOR, lebih 40 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan penduduk di sekitar Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Pontian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata dalam pemeriksaan itu, tiada kompaun dikeluarkan polis berhubung kesalahan melanggar SOP berkaitan larangan kunjung-mengunjungi atau ziarah Aidilfitri pada kali ini.

Menurutnya, pemantauan di kawasannya melibatkan 29 kawasan FELDA dan 25 taman perumahan.

Di PERLIS, tiada kes kesalahan melanggar SOP berkaitan dengan larangan kunjung-mengunjungi dan ziarah Aidilfitri di negeri ini.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, sehingga kini hanya satu kompaun dikeluarkan bagi kesalahan rentas negeri tanpa surat kebenaran sejak PKP bermula pada Rabu lepas.

Di KEDAH, tiada kompaun dikeluarkan kepada mana-mana individu kerana melanggar larangan itu berikutan polis melakukan pemantauan serta rondaan ke kawasan perumahan bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata, 142 rumah diperiksa pada kelmarin dan semalam merangkumi kawasan perumahan serta kampung di daerah itu dan secara keseluruhannya penduduk mematuhi larangan itu.

“Kami dapati semua rumah yang diperiksa mematuhi SOP serta jumlah orang yang berada di dalam rumah mengikut jumlah yang sepatutnya. — Bernama

Advertisement