Anda di sini

COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah

Advertisement
 Dr Mohd Azman (dua kanan) bertanya sesuatu kepada seorang pesakit sempena tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Negeri Kelantan semalam. — Gambar Bernama
PRIHATIN: Dr Mohd Azman (dua kanan) bertanya sesuatu kepada seorang pesakit sempena tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Negeri Kelantan semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Pusat Ke-siapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kelantan tidak menggalakkan Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini ketika ini.

Pengarahnya, Dr Mohd Azman Yacob berkata, individu positif wabak itu sebaliknya perlu berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Ini kerana pertamanya dari segi kawalan dan kedua untuk mengesan gejala terutama pesakit yang berumur. Kalau duduk di rumah mungkin mereka tidak maklumkan kepada hospital atau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC),” katanya kepada pemberita kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas meninjau PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, mereka yang ditempatkan di PKRC di negeri ini perlu terus kekal berada di pusat berkenaan sehingga tempoh kuarantin tamat, susulan terdapat permintaan daripada pesakit COVID-19 yang ingin pulang ke rumah selepas berada tujuh hari di PKRC dan mahu menamatkan baki tiga hari kuarantin secara HIO di rumah.

Dr Mohd Azman berkata, Kelantan kini memiliki 10 PKRC berikutan pembukaan dua lagi pusat berkenaan di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas dan Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Tanah Merah.

“PKRC KKTM Pasir Mas telah dibuka pada Selasa (11 Mei) akan menempatkan 160 pesakit wanita, manakala PKRC Tanah Merah beroperasi bermula Rabu (12 Mei) akan menempatkan 200 pesakit lelaki,” katanya.

Ditanya mengenai cada-ngan pembukaan hospital medan, Dr Mohd Azman berkata perbincangan di peringkat negeri bersama tentera telah dilakukan, na-mun pembukaannya akan disemak semula memandang-kan PKRC ketika ini masih mampu menampung jumlah pesakit. — Bernama

Advertisement