Anda di sini

APMM Bintulu perketat penguatkuasaan di perairan

Advertisement
Anggota APMM melakukan kawalan ketat di perairan Bintulu.
Anggota APMM melakukan kawalan ketat di perairan Bintulu.

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperketatkan penguatkuasaan di laut terutamanya di perairan Bintulu semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri serta menjelang Hari Gawai.

Zon Maritim Bintulu akan memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan oleh komuniti maritim setempat dan pencerobohan kapal asing sekali gus bertindak sebagai barisan hadapan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) siri ketiga setelah pihak kerajaan mengumumkan penguatkuasaan di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun 2021.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Prosedur Operasi Standard (SOP) Diperketatkan di bahagian Bintulu yang bermula 27 April hingga 17 Mei 2021 dikuatkuasakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, seramai 90 pegawai dan anggota APMM sentiasa bersiap sedia di musim perayaan pada tahun ini dalam penugasan di laut kerana kawasan operasi yang luas memerlukan kehadiran sepenuhnya pihaknya bagi menjamin keselamatan perairan negara.

"Zon Maritim Bintulu juga turut terlibat dalam penugasan `Task Force' yang turut dianggotai oleh pihak berkuasa lain di kawasan jeti penumpang dan motosikal di Sungai Kemena Bintulu pada setiap hari," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam tugasan tersebut katanya, beberapa pegawai dan anggota ditugaskan untuk membuat pemantauan tahap pematuhan SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di kalangan pengusaha dan pengguna bot penambang.

Selain itu katanya, mereka juga menguatkuasakan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Komuniti maritim terutamanya di daerah Bintulu diingatkan supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan mematuhi semua arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan," tambahnya. 

APMM mengalu-alukan maklumat atau laporan aktiviti melanggar undang-undang dan kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

  • oleh
  • Advertisement