Anda di sini

16 PTI bekerja dengan bot nelayan tempatan ditahan

Advertisement
 Bot nelayan tempatan yang menggunakan khidmat PTI tanpa dokumen sah.
TAHAN: Bot nelayan tempatan yang menggunakan khidmat PTI tanpa dokumen sah.


LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan 16 Pendatang Tanpa Izin (PTI) dalam satu pemeriksaan Ops Pagar Laut di kedudukan sekitar 24 batu nautika barat laut dari Pulau Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata hasil pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi itu mendapati kesemua PTI bekerja di bot nelayan tempatan secara haram.

“Sebaik menahan bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan itu, kita dapati bot dikendalikan 18 kru termasuk tekong berumur 24 hingga 54 tahun. 

“Semasa diperiksa, 16 kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai PTI yang memasuki negara ini secara haram,” katanya.

Menurutnya bot nelayan tempatan itu kemudiannya ditunda dan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Labuan, manakala semua kru ditahan untuk siasatan oleh Pegawai Penyiasat.

“Selain itu, Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemilik bot kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah.  

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.

Katanya warga maritim juga dinasihatkan untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah di laut ke Pusat Operasi Maritim Labuan di talian 087-428008 atau terus melalui talian kecemasan MERS 999.

  • oleh
  • Advertisement