Anda di sini

Ibu tunggal rindu 11 Cucu balik berhari raya

Advertisement

TAWAU : Seorang ibu tunggal hanya mampu menahan rindu untuk bertemu dengan 11 orang cucunya setelah dua tahun tidak berhari raya bersama mereka.

Rumah usang tempat Sapiah Sabang, 65, berlindung di Kampung Gabungan, Jalan Morrel, di sini, selalunya riuh rendah dengan suara cucunya setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menjadi rutin tahunan Sapiah sekeluarga menerima kehadiran cucu dan tiga anaknya yang menetap di Labuan dan Selangor pulang beraya, pada minggu terakhir Ramadan.

Katanya, kebiasannya waktu begini, rumah mereka sudah meriah dan memang tidak menang tangan dibuatnya.

“Mana hendak melayan cucu, kami juga biasanya sibuk menyiapkan juadah raya terutamanya buras bersama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, itu kenangan tiga tahun lalu, sebelum ia kekal jadi memori manis yang meruntun jiwa sejak dua tahun lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

Sapiah yang tinggal bertiga dengan dua anaknya iaitu Irwansyah Abd Karim, 43, dan Mazlansyah Abd Karim, 30, masing-masing mengalami masalah kesihatan sekali gus menyukarkan mereka bekerja.

Irwansyah, anak sulung yang menjadi sandaran keluarga daif ini, terpaksa duduk di rumah selepas disahkan mengalami masalah kanser tulang pada kakinya pada tahun 2015.

Manakala, Mazlansyah pula, mengalami masalah depresi yang menyebabkannya tidak mahu keluar rumah sejak tahun lalu.

Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung harap kepada tiga anak lain iaitu Hasmiati, 40, Hamsah, 37, dan Haslinda, 33, yang kini bekerluarga dan menetap di Labuan serta Petaling Jaya, Selangor.

Hanya Hamsah yang bekerja, manakala dua anak perempuan Sapiah adalah suri rumah sepenuh masa.

Menurut Sapiah, walaupun suri rumah dan mempunyai ahli keluarga sendiri, mereka tetap menghulurkan wang belanja bulanan sekitar RM300 hingga RM500 sebulan kepada mereka.

“Saya tidak memaksa anak-anak untuk memberi belanja bulanan, kerana mereka juga mempunyai tanggungan sendiri selain tidak berpendapatan besar.

“Dua tahun beraya tanpa mereka ekoran perlaksanaan PKP pasti cukup terasa lebih-lebih lagi 11 cucu yang sentiasa menemani Mazlansyah,”katanya.

Akur dengan keputusan kerajaan berkaitan PKP, Sapiah menyifatkan ia langkah yang baik demi keselamatan anak cucunya.

Sementara itu, nasib Sapiah sekeluarga turut menarik perhatian pengurusan kedai pakaian NK Gallery Tawau untuk mendermakan tiga pakaian baharu dan duit raya buat mereka.

Perkara itu dilakukan serta merta sebaik petugas media memaklumkan kedaifan keluarga itu kepada pengurusan NK Gallery.

  • oleh
  • Advertisement