Anda di sini

Solskjaer minta pengurusan kelab perkuatkan skuad

Advertisement
 Sebahagian daripada babak aksi perlawanan EPL di antara Man Utd dan Leicester City di Old Trafford. — Gambar AFP
AKSI TUMPUAN: Sebahagian daripada babak aksi perlawanan EPL di antara Man Utd dan Leicester City di Old Trafford. — Gambar AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer meminta pengurusan kelab untuk memperkuatkan skuad selepas tewas 1-2 kepada Leicester City di Old Trafford pada Selasa, sekali gus mengesahkan Manchester City sebagai juara Liga Perdana Inggeris.

United, yang berada di tangga kedua liga dan perlu menewaskan Leicester untuk terus menangguhkan pengesahan City selaku juara liga, ketinggalan pada minit ke-10 menerusi gol Luke Thomas.

Mason Greenwood mengikat kedudukan buat United lima minit kemudian tetapi gol Caglar Soyuncu pada separuh masa kedua memastikan kemenangan Leicester untuk meningkatkan peluang mereka layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan dan juga menambah keyakinan menjelang final Piala FA Inggeris menentang Chelsea hujung minggu ini.

Kekalahan menyebabkan United ketinggalan 10 mata di belakang City, yang tidak lagi dapat dipintas walaupun City hanya menunggu masa untuk mengesahkan kejuaraan mereka.

Pemilik kelab, keluarga Glazer yang berpusat di Florida, Amerika Syarikat, menjadi sasaran kritikan dan bantahan oleh penyokong United sejak beberapa minggu ekoran penglibatan mereka dalam usaha menyertai kejohanan kontroversi, Liga Super Eropah.

Satu tunjuk perasaan menceroboh masuk ke dalam stadium Old Trafford dan ke dalam padang sebelum perlawanan menentang Liverpool, menyebabkan perlawanan itu ditangguhkan ke minggu ini .

Tetapi keluarga Glazers memberikan sokongan padu kepada Solskjaer dalam pasaran perpindahan dalam tempoh kontroversi itu dan Solskjaer menggesa mereka untuk  terus mengeluarkan dana untuk menyaingi  City yang dibiayai oleh hartawan Abu Dhabi.

“Jika anda mahu mencabar mereka (City), kita perlu memperkuatkan skuad,” kata Solskjaer.

“Tahniah kepada mereka. Mereka mengharungi satu musim yang  hebat. Saya berasa gembira dengan pemain saya kerana mengharungi 10 hari terakhir dengan Man City berada di hadapan kami dan juga dianggap yang terbaik di Eropah.

“Kami mahu mengambil langkah seterusnya dan ia mungkin kami memerlukan beberapa pemain untuk memperkuatkan lagi skuad.”

United berdepan dengan jadual tiga perlawanan dalam lima hari dan Solskjaer ada berjanji untuk menggilirkan pemainnya.

Beliau mengotakan kata-katanya apabila melakukan 10 pertukaran dari skuad yang menewaskan Aston Villa 3-1 hujung minggu lepas, dengan Greenwood adalah satu-satu pemain yang kekal dalam kesebelasan utama.

“Ia tidak dapat seperti ini lagi,” kata Solskjaer. “Kami tidak dapat bermain pada Khamis, Ahad, Selasa hingga Khamis, ia mustahil untuk tidak melakukan pertukaran pemain. Semua ini tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Kemenangan buat Leicester bermakna mereka kembali memintas Chelsea ke tangga ketiga liga, walaupun Chelsea boleh merampas semula kedudukan itu jika menewaskan Arsenal pada perlawanan lewat.

Tiga tangga teratas dijamin satu tempat ke pusingan pertama Liga Juara-Juara sementara pasukan di tangga keempat harus bermain perlawanan kelayakan terakhir untuk ke pusingan pertama kejohanan.

Leicester kini mengalih perhatian kepada final Piala FA Inggeris Sabtu ini dan akan memburu kejuaraan sulung mereka dalam Piala FA namun pengurusnya, Brendan Rodgers berkata kemenangan ke atas United adalah persediaan ideal untuk final Piala FA.

“Ia satu persediaan sempurna untuk kelab dengan mengutip tiga mata penuh,” kata beliau.

“Kami tahu kami menentang pasukan yang hebat. Malam ini kami menentang finalis Liga Europa, hujung minggu ini kami menentang finalis Liga Juara-Juara.

“Tetapi kami akan bersedia dan kita akan lihat nanti jika kami boleh mencipta sejarah,” tambah beliau. — AFP

Advertisement