Anda di sini

Senarai program menarik sempena Syawal 2021

Advertisement
 Saksikan kumpulan Dolla dalam program ‘Kome Nak Raya’, perkongsian kenangan raya bagi yang tidak dapat balik beraya akibat pandemik COVID-19.
DOLLA: Saksikan kumpulan Dolla dalam program ‘Kome Nak Raya’, perkongsian kenangan raya bagi yang tidak dapat balik beraya akibat pandemik COVID-19.

RAIKAN Syawal yang dinantikan dengan penuh kesyukuran setelah sebulan menjalani Ramadan dengan penuh ketakwaan.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengetuk pintu satu Syawal di mana seluruh umat Islam meraikan kemenangan dan kejayaan selepas 30 hari berpuasa dengan pelbagai program khas yang disiarkan secara eksklusif di TV1, TV2, TV Okey, Berita RTM dan Sukan RTM juga menerusi kesemua 34 stesen radio RTM.

Ketibaan Syawal membawa makna kemenangan yang wajar dihayati dan RTM terus menceriakan suasana Hari Raya Aidilfitri kepada penonton TV dan radio RTM yang telah diberi suntikan nafas baharu lebih segar berkumandang, menarik didengar, dan imej baharu melalui logo stesen terkini.

Ikuti siaran langsung ‘Gema Takbir 2021’ terbitan JAKIM pada malam raya di TV1 yang memaparkan topik sambutan raya daripada sudut pandangan Islam bersama tetamu undangan khas. Program diselangi dengan takbir dan nasyid raya.

Program majalah dan dokumentari kerohanian dibawakan TV1 menerusi tajuk ‘Cerita Raya Di Bawah Bayu’, kisah empat orang artis Sabah yang terjejas dengan pandemik COVID-19 namun masih bersemangat membuat persiapan raya bersama keluarga.

Dalam ‘Sehening Syawal’ terbitan RTM Sarawak pula berkongsi kisah sedih Aida Nabila yang kehilangan lima orang ahli keluarga akibat COVID-19.

Tiga majalah khas bertajuk ‘Raya Cara Kita’, ‘Lensa Deko’ dan ‘#HOTD-House of The Day’ turut disiarkan TV Okey.

Antara pengisian menarik dalam Raya Cara Kita berkongsi cerita sambutan raya artis bersama keluarga tersayang antaranya Azad Jasmin, Aiman Tino dan Ruhainies.

Menerusi saluran Berita RTM (123 my Freeview) pula dihadirkan program majalah khas ‘Cerita Kita’ yang berkongsi pengalaman tahun kedua bertugas di musim perayaaan bersama petugas-petugas barisan hadapan dalam sektor media termasuklah menemubual juruhebah radio, wartawan, pengacara, penerbit, petugas teknik dan pengawal keselamatan.

Saluran sama turut memaparkan kisah kegembiraan sambutan Syawal antara pasangan campur lelaki Nigeria dan wanita Malaysia dalam ‘Pesona XY Raya’, kisah raikan raya pelbagai bangsa dalam ‘Fresh Brew Raya’, ‘Lebaran @SPM’, ‘What Say You Edisi Raya’ dan ‘Vasantham Edisi Raya’.

 ‘Padi Reborn’, sebuah persembahan konsert solo Kumpulan Padi di Kuala Lumpur, antara program hiburan yang bakal disajikan istimewa di TV2.
KHAS SYAWAL INI: ‘Padi Reborn’, sebuah persembahan konsert solo Kumpulan Padi di Kuala Lumpur, antara program hiburan yang bakal disajikan istimewa di TV2.

Koleksi filem-filem tempatan, cereka Asia dan antarabangsa juga bakal menemani penonton sepanjang Aidilfitri ini di TV2 seperti ‘Terminator Genisys’, ‘Bumblebee’, ‘Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng!’, ‘Mat Biec A.K.A Dreamy Eyes’, ‘Railroad Tiger’, ‘Cinta Laki-Laki Biasa’, ‘Bikers Kental 2’ dan ‘Mujhse Shaadi Karoge’.

Manakala TV Okey pula tampil dengan filem ‘Untuk Tiga Hari’ dan TV1 menyiarkan filem ‘Kung Fu Panda 3’.

Penonton akan dihiburkan dengan sketsa Islamik, ‘Riang Syawal’ menerusi TV1 dijayakan oleh Ustaz Rahmat Ikhsan, Zila Bakarin, Roy Azman dan Mamak Puteh yang berkongsi situasi sambutan raya yang lazimnya dilakukan masyarakat kita namun boleh menimbulkan konflik antara tuntutan budaya dan agama.

Saksikan juga drama pendek terbitan Unit Drama TV RTM bertajuk ‘Che Milah Raya’, kisah Nek Nab, yang Alzheimer sering berkelakuan misteri membantu cucunya menyediakan menu Rendang Cili Padi.

Tidak terhenti di situ, pelbagai program hiburan dan muzikal bakal disajikan istimewa di TV2 iaitu ‘Padi Reborn’, sebuah persembahan konsert solo Kumpulan Padi di Kuala Lumpur.

Dua program terbitan Unit Hiburan TV RTM masing-masing disiarkan menerusi TV1 dan TV2 iaitu ‘Temasya Aidilfitri #gengrayaKL’ menampilkan Dato’ M.Nasir, Jalil Hamid, Ifa Raziah, Dayangku Intan, Hael Husaini, dan Kristal X juga program ‘Kome Nak Raya’, perkongsian kenangan raya bagi yang tidak dapat balik beraya akibat pandemik COVID-19 bersama artis Kazar, Fikry Ibrahim, Sissy Iman, Afieq Shazwan, Dolla, dan Datuk Jamal Abdillah.

Slot Panggung Syawal disiarkan TV1 terus memberikan plot kisah bermanfaat buat semua dibintangi pelakon terkenal tanah air antaranya ‘Kami Datang Nak Raya’ (Azhan Rani, Zarynn Min), ‘Kalut’ (Mimi Ernida, Nafiz Muaz), ‘Aku Bukan Malaikat’ (Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda), ‘Keliru Ibu’ (Sherie Merlis, Zila Bakarin, Fazlina Ahmad Daud), ‘Cikgu Amy’ (Elisya Sandha, Sharifah Sakinah), dan ‘Doa Terindah’ (Remy Ishak, Aida Aris).

Mewarnai slot Layar Okey di TV Okey pula barisan telemovie terbaik seperti ‘Aya’ (Elvina Muhammad, Nazrief Nazri), ‘Tuhan Masih Ada’ (Shah Jaszle, Nad Zainal), ‘Sinar Yang Dinanti’ (Beto Kusyairi, Tiz Zakiah), ‘Najiha’(Nad Zainal, Hafidz Rosdhi) dan ‘Grumpy Grampas’ (Shaharuddin Thamby, Chew Kim Chuah, Faradhiya).

Tiga koleksi ‘throwback’ artis terkenal iaitu ‘Istimewa Bersama KRU’, ‘Istimewa Bersama Liza Hanim’ dan ‘Istimewa Bersama Realiti TV’ mengisi slot Retro di TV2 juga program bual bicara hiburan RTM iaitu ‘#HTV! Seronok Weyy Raya’ di mana hos Nana Mahazan mengundang artis Intan Ladyana, Harris Alif dan Wany Hasrita ke studio.

Istimewanya Aidilfitri tahun ini turut menarik penglibatan saluran Sukan RTM berkongsi dua program khas iaitu bual bicara ‘Planet Sukan Khas Raya’ dan ‘Interaktif Sukan Khas Edisi Raya’ di Saluran 111 my Freeview.

Dengan kelebihan sebagai medium yang boleh didengari di mana-mana sahaja, 34 stesen radio RTM menawarkan pelbagai rancangan menepati citarasa semua pendengar sepanjang bulan lebaran ini.

Istimewa malam raya stesen NASIONALfm, Sentiasa Di Hati tampil meriah menerusi program ‘Syawal 7 Frekuensi’, yang menggabungkan penyampai-penyampai dari tujuh stesen di ibu pejabat dengan tema ‘Tak Balik Kampung Lagi’.

Selain itu, NASIONALfm juga menyenaraikan empat lagi program bersiaran hari raya pertama hingga ketiga iaitu ‘Pujaan 10 Raya’, ‘Drama Khas Aidilfitri’, ‘Seloka Raya NASIONALfm’ dan ‘Raya Norma Baharu’.

Terus menghimpunkan program hiburan, drama dan sketsa yang mengundang artis popular tanah air, stesen Radio KLASIK menganjurkan program ‘Jalinan Kasih Aidilfitri Radio Klasik’, ‘Puisi Khas Raya’, ‘Cubit-Cubit Manja Raya The Muzikal’, ‘ADILA Khas’, ‘Mustaqeem Khas Hari Raya Aidilfitri’ dan ‘Drama Khas Raya’, kisah konflik ibu anak lakonan Liza Abdullah dan Delimawati.

Advertisement