Anda di sini

Pesta keramaian di Stadium Etihad

Advertisement
 Penyokong Manchester City berkumpul di luar Stadium Etihad bagi meraikan kejayaan pasukan mereka memenangi Kejuaraan Liga Perdana Inggeris. — Gambar AFP
RAIKAN BERSAMA: Penyokong Manchester City berkumpul di luar Stadium Etihad bagi meraikan kejayaan pasukan mereka memenangi Kejuaraan Liga Perdana Inggeris. — Gambar AFP

MANCHESTER: Penyokong Manchester City berkumpul di luar Stadium Etihad untuk meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris mereka selepas Manchester United tewas 1-2 kepada Leicester City pada Selasa.

Beberapa ratus penyokong City bergerak ke Etihad untuk memulakan pesta kejuaraan selepas keputusan di Old Trafford.

City, yang dibimbing Pep Guardiola, melengkapkan kejuaraan liga yang ketiga dari empat musim terakhir dengan berbaki tiga perlawanan musim ini.

Penyokong masih tidak dibenarkan hadir pada perlawanan Liga Perdana Inggeris kerana protokol kesihatan COVID-19.

Tetapi buat masa ini, penyokong City berpesta di jalan-jalan di sekitar Etihad.

“Ia satu perasaan hebat, perasaan paling hebat ialah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Lebih bagus berbanding perkara lain dalam bola sepak!” kata seorang penyokong, Graham Warner.

Merujuk kepada lagi rasmi City, Bulan Biru, seorang lagi penyokong, Shane Graham berkata: “Luar biasa, di luar dunia ini. Anda boleh berkata kami berada dalam bulan biru!”

Kelab juga meraikan kejuaraan liga dengan memasang sepanduk besar di luar stadium sebaik sahaja perlawanan di Old Trafford tamat.

Guardiola memberikan penghargaan kepada penyokong City kerana sokongan mereka dalam tempoh sukar ketika negara itu berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Ia sangat penting untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong kami. Dalam saat sukar, kami tidak dapat mendengar sorakan penyokong seperti biasa dalam stadium tetapi kami tahu mereka sentiasa bersama dengan kami dan ia mengangkat semangat kami,” kata Guardiola.

City sudah memenangi kejuaraan Piala Liga Inggeris pada bulan April dan boleh melengkapkan satu musim yang cemerlang dengan memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama pada lewat bulan ini.

Mereka akan bertemu Chelsea di final pada 29 Mei dengan venue final akan berlangsung sama ada di Portugal atau di England, sekali gus memastikan penyokong kedua-dua kelab hampir pasti boleh hadir ke menonton final itu. — AFP

Advertisement