Anda di sini

Kemarau kejuaraan dua dekad berakhir

Advertisement
 Pemain dan kru pasukan Sporting Lisbon meraikan kejayaan mereka memenangi Liga Portugal di Stadium Jose Alvalade di Lisbon. — Gambar AFP
HARI BERSEJARAH: Pemain dan kru pasukan Sporting Lisbon meraikan kejayaan mereka memenangi Liga Portugal di Stadium Jose Alvalade di Lisbon. — Gambar AFP

LISBON: Sporting Lisbon muncul juara Liga Portugal buat kali pertama dalam hampir dua dekad pada Selasa.

Kemenangan 1-0 ke atas Boavista di Stadium Jose Alvalade mengesahkan kejuaraan liga yang ke-19 buat Sporting tetapi kejuaraan yang pertama mereka sejak 2002.

Gol Paulinho minit ke-36 itu memastikan Sporting tidak dapat dipintas oleh Porto pada satu perlawanan yang berlangsung tanpa penonton kerana pandemik COVID-19.

Sporting menangguhkan pengesahan kejuaraan mereka selama 24 jam selepas Porto membelasah Farense 5-1 pada perlawanan hari Isnin.

Mereka menjuarai liga dengan bergaya, lapan mata di hadapan Porto dan memiliki rekod tanpa kalah.

Walaupun arahan dari pihak berkuasa tempatan untuk menjalani penjarakan sosial, ribuan penyokong Sporting mula berkumpul di luar stadium sebelum sepak mula perlawanan.

Pesta kejuaraan sudah bermula di luar stadium walaupun sebelum wisel penamat perlawanan.

Pada masa rehat, pergelutan di antara penyokong dan polis kelihatan dengan beberapa orang mengalami kecederaan, menurut polis.

Sebaik sahaja perlawanan berakhir, penyokong Sporting membanjiri jalan-jalan di ibu kota sambil membakar bunga api, membunyikan hon kereta dan bersorak “Kami adalah juara”.

Sporting, kelab di mana Cristiano Ronaldo memulakan kerjayanya, naik ke tangga  teratas liga pada bulan November tahun lepas dan mengekalkan kedudukan sehingga sekarang.

Salah satu faktor penentu kejuaraan mereka hadir pada akhir bulan lepas apabila Sporting menewaskan Braga 1-0 sementara Porto, yang kurang empat mata di belakang ketika itu, seri 1-1 di Moreirense.

Kejuaraan buat Sporting menamatkan penguasaan dua musuh tradisi di kota Lisbon, Benfica dan Porto, yang memenangi kejuaraan di antara mereka sejak 2003.

Sporting, yang menjual pemain terbaik mereka, Bruno Fernandes, 18 bulan yang lalu kepada Manchester United, sudah memenangi satu kejuaraan musim ini apabila memenangi Piala Liga Portugal dengan menewaskan Braga 1-0 pada bulan Januari.

Tiga tahun yang lalu, Sporting mengharungi krisis  terburuk dalam 100 tahun sejarah kelab, dengan penyokong mengeledah pusat latihan kelab dan menyerang pemain dan kakitangan kelab selepas menamatkan musim di  tangga ketiga.

Insiden itu menyebabkan pemergian jurulatih Jorge Jesus, beberapa pemain senior dalam skuad dan juga presiden kelab, Bruno de Carvalho, yang dituduh membangkitkan lagi kemarahan penyokong.

Presiden semasa, Frederico Varandas, membuat keputusan merombak pengurusan kelab dan  membina semula skuad dari kalangan pemain muda berbakat, dipimpin jurulatih berusia 36 tahun, Ruben Amorim dan keputusan itu kelihatan membuah hasil lumayan musim ini. — AFP

Advertisement