Anda di sini

Pembukaan ekonomi semasa PKP 3.0 bagi melindungi golongan mudah terjejas, PKS

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan untuk mengekalkan pembukaan aktiviti ekonomi secara bersasar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah untuk melindungi golongan tertentu terutamanya golongan yang mudah terjejas serta perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar) berkata pelaksanaan PKP 3.0 adalah berlandaskan standard operasi yang diguna pakai semasa PKP 2.0 pada awal tahun ini yang membenarkan aktiviti ekonomi untuk terus beroperasi. 

Namun begitu, beliau menegaskan aktiviti sosial masih dilarang selaras dengan perkembangan semasa. 

“Berdasarkan pengalaman PKP yang terdahulu dan data terkini, kerajaan mendapati beberapa perkara berikut. Pertama, penutupan ekonomi akan memudaratkan golongan rentan dan yang mudah terjejas. 

“Kedua, jika sektor seperti perkilangan tidak beroperasi, ia akan membawa impak yang berlarutan dan berpanjangan kepada sektor utama ekonomi,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan PKP 3.0 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata PKP 1.0 telah menyebabkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi dan menyebabkan kadar pengangguran melonjak sehingga 5.3 peratus atau 826,000 pada Mei 2020. 

“Ini merupakan kadar pengangguran yang tertinggi sejak krisis komoditi pada tahun 1980-an. Jika PKP 1.0 dilaksanakan semula, dianggarkan lebih satu juta rakyat Malaysia akan menganggur. 

“Lebih membimbangkan, kadar pengangguran ini tidak sekata dan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita dan mereka yang berkemahiran rendah,” katanya. 

Di samping risiko pengangguran, sebanyak 2.8 juta rakyat merangkumi golongan yang bekerja sendiri, PKS mikro dan usahawan kecil akan lebih terjejas melalui pengurangan pendapatan. 

Secara perbandingan kepada PKP 1.0, Tengku Zafrul berkata kadar pengangguran adalah pada 4.7 peratus atau 753,000 individu pada Mac semasa PKP 2.0 dijalankan. 

“Perlu diingatkan bahawa kita masih jauh daripada kadar pengangguran sebelum pandemik COVID-19 melanda negara iaitu pada 3.7 peratus pada 2019,” katanya. 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata moratorium pinjaman bank automatik tidak akan dilaksanakan pada PKP 3.0. 

“Saya mengingatkan pertolongan daripada bank mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus diberikan. Pada PKP 2.0, ia (moratorium) juga tidak diberikan kerana ekonomi masih dibuka. Golongan dan syarikat yang terjejas masih mendapat pertolongan daripada bank, sama sahaja seperti PKP 2.0,” katanya.

Semalam, BNM berkata moratorium menyeluruh secara automatik tidak akan dilaksanakan semula meskipun kerajaan melaksanakan PKP 3.0 di seluruh negara. - Bernama

Advertisement