Anda di sini

Lelaki didenda miliki senapang tiruan

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki yang mengaku bersalah memiliki selaras senapang tiruan untuk kegunaan sendiri didenda RM600 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie setelah Mohammad Ikram Abdullah, 29, dari Kampung Pemukat, Kuala Lawas mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh ditahan sekitar jam 11.30 pagi, 5 Mei lalu oleh anggota polis bantuan di Lapangan Terbang Miri setelah mesin pengimbas bagasi mengesan sesuatu dipercayai komponen senjata api mainan di dalam beg miliknya.
    
Setelah diperiksa, anggota polis bantuan terbabit menemui selaras senjata api mainan jenis raifal yang dibungkus dan disimpan di dalam beg tertuduh untuk dibawa ke Lawas dengan menaiki penerbangan Miri-Lawas.
    
Berikutan itu, sekitar jam 2 petang hari sama, polis telah menangkap semula tertuduh yang diserahkan oleh pihak polis bantuan untuk tindakan lanjut.
    
Dalam percakapan beramaran yang dirakamkan polis, tertuduh mengaku telah membeli senjata tiruan itu di sebuah pasaraya di Miri dan telah menyimpannya sejak dua tahun lalu.
    
Semasa ditangkap, tertuduh mengaku senjata itu hendak dibawa pulang ke Lawas untuk kegunaan sendiri di kebunya.
    
Manakala hasil ujian yang dilakukan oleh Cawangan Persenjataan mengesahkan senjata api tiruan itu boleh berfungsi untuk melepaskan bebola gel.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakal tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement