Anda di sini

Fulham tewas 0-2 kepada Burnley, tersingkir dari liga

Advertisement
 Ashley Westwood menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Fulham dan Burnley di Craven Cottage di London, kelmarin. — Gambar AFP
PEMBUKA TIRAI: Ashley Westwood menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Fulham dan Burnley di Craven Cottage di London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Fulham disahkan tersingkir dari Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-2 kepada Burnley di tempat sendiri pada Isnin, sekali gus mengekalkan status Burnley dalam liga yang sama pada musim hadapan.

Fulham akan menyertai West Bromwich Albion dan Sheffield United  dalam Liga Kejuaraan pada  musim hadapan.

Fulham harus mengelak kekalahan di Craven Cottage untuk mengekalkan peluang tipis mengelak penyingkiran tetapi gol dalam separuh masa pertama oleh Ashley West Wood dan Chris Wood akhirnya menamatkan segala harapan Fulham untuk terus kekal dalam Liga Perdana.

Kekalahan juga bermakna kesemua tiga slot penyingkiran liga musim ini sudah diketahui dengan berbaki tiga perlawanan musim ini dan memastikan tiada drama saat akhir penyingkiran.

“Ia sudah dibayangkan tetapi ia sememangnya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan, rasa sakit dan sedih saya malam ini,” kata pengurus Fulham, Scott Parker.

“Ia tidak dapat dielakkan. Saya terkedu. Malam ini menunjukkan tentang apa yang berlaku hampir sepanjang musim. Di antara perbezaannya ialah bolos mudah dan ketika harus melakukan penyudah, kami gagal melakukannya dan juga kami tidak mampu melakukan keputusan yang baik dalam padang.”

Kekalahan juga bermakna Fulham kembali semula ke Liga Kejuaraan selepas satu musim, dengan Parker menambah: “Kelab perlu membuat keputusan besar.

“Kami pernah  tersingkir, kembali ke Liga Perdana dan tersingkir lagi. Ia turun naik dan bukan sesuatu yang anda  mahukan.”

Burnley dijual kepada sebuah konsortium berpejabat di Amerika Syarikat (AS) pada bulan Februari dan pengurus kelab, Sean Dyche berasa bangga dengan cara pasukannya menangani ketidaktentuan dalam dan luar padang.

“Ia penting untuk kelab, penting untuk bandar raya ini,” kata beliau.

“Ia adalah musim mencabar dengan penjualan kelab. Tiada banyak pelaburan dari pemilik luar negara dan kami juga mempunyai masalah kecederaan pemain,” tambah beliau.

Burnley mempunyai dua peluang awal yang dinafikan penjaga gol Fulham, Alphonse Areola sebelum membuka jaringan pada minit ke-35 apabila Westwood menyempurnakan umpanan Matej Vydra.

Burnley menambah jaringan seminit sebelum rehat dari rembatan cantik wood.

Areola bernasib baik untuk terus berada dalam padang pada minit ke-67 selepas keluar dari kotak penalti dengan bola kelihatan terkena lengan beliau ketika Vydra cuba mengeleceknya.

Tetapi dengan tanpa campur tangan panel video bantuan pengadil (VAR) dan pengadil membuat keputusan tiada kad merah dilayangkan kerana ada seorang pemain pertahanan di situ, bermakna tiada peluang menjaringkan gol dinafikan.

Namun tuah Fulham berakhir apabila cubaan Andre-Frank Zambo Anguissa melepasi penjaga gol Burnley, Nick Pope tetapi bola terkena palang. — AFP

Advertisement