Anda di sini

COVID-19: Sarawak catat 405 kes baharu, satu kematian

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak mencatatkan 405 kes baharu COVID-19 hari ini dengan sejumlah 289 atau 71.36 peratus daripada jumlah kes ini dikesan di daerah Kapit, Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata Kapit merekodkan kes harian tertinggi iaitu 79 diikuti Sibu (68), Bintulu (60), Miri (47), Kuching (35), Mukah (17), Samarahan (17), Subis (16), Serian (13), Sebauh (9), Pakan (8), Sri Aman (8) dan Tebedu (6). 

Manakala lain-lain kes dikesan di Selangau (6), Lundu (4), Song (4), Bukit Mabong (3), Pusa (2), Tatau (1), Kanowit (1) dan Sarikei (1) menjadikan jumlah keseluruhan kini 36,726 kes.

“Daripada 405 kes baharu yang dilaporkan, seramai 34 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.

“Manakala, seramai 346 orang adalah terdiri daripada individu yang diberi arahan perintah kuarantin,” katanya. 

Daripada 405 kes yang dikesan, 308 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19, 38 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada dan 30 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan.

Manakala 29 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan dan satu kes melibatkan individu yang balik dari daerah-daerah lain di dalam Sarawak (Import C). 

JPBNS turut memaklumkan terdapat satu kematian akibat COVID-19 melibatkan lelaki, 43, dari daerah Beluru yang mendapat rawatan di Hospital Miri. 

Kes kematian ke-212 ini adalah kes ke -32,392 yang didapati bergejala demam dan mengalami batuk sejak tiga hari yang lepas sebelum mendapatkan rawatan. 

Ujian calitan pada 3 Mei 2021 bagi ujian rT-PCR adalah positif COVID-19 dan beliau disahkan meninggal dunia pada 11 Mei 2021, katanya menambah kes turut mempunyai ko-morbid penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik.

Mengenai status kes di wad hospital dan masih di bawah pengawasan perubatan pula, terdapat 494 kes baharu yang  pulih dan dibenarkan discaj. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 29,890 orang atau 81.39 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital mengikut hospital rujukan adalah seramai 6,544 orang.

Manakala, 406 orang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.

  • oleh
  • Advertisement