Anda di sini

COVID-19: Malaysia catat kematian tertinggi 39 kes hari ini - KP Kesihatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian COVID-19 di Malaysia hari ini mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 39 orang manakala kes baharu COVID-19 juga terus meningkat kepada 4,765 kes berbanding 3,973 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata daripada jumlah kematian itu, sebanyak 37 kes melibatkan warganegara manakala dua lagi bukan warganegara sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,761 kes.

“Daripada 4,765 kes baharu itu, sebanyak 4,758 kes tempatan dan tujuh kes import menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 453,222.

“Kes sembuh adalah sebanyak 3,124 kes dengan sebanyak 469 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala 244 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan rasmi mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 14 kes baharu tempatan COVID-19 yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 telah dikesan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan manakala satu kes import bukan warganegara yang dijangkiti varian India B.1.617.2 dilaporkan telah meninggal dunia.

“Ini dikesan melalui survelan genomik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 33 sampel COVID-19 dari 3 hingga 10 Mei 2021.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 adalah sebanyak 62 kes dan varian India B.1.617 sebanyak dua kes iaitu masing-masing satu kes subketurunan B.1.617.1 dan B.1.617.2,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa 20 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan 12 kluster di tempat kerja, lima kluster komuniti dan masing-masing satu kluster keagamaan, kumpulan berisiko serta institusi pendidikan yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kluster di tempat kerja membabitkan Kluster Tapak Bina Persiaran Tanjung, Persimpangan Batu Arang, Tapak Bina Bukit Semenyih 2, Industri Jalan Emas dan Persiaran Masjid Lima di Selangor; Persiaran Satu, Tapak Bina Batu Lima dan Jalan Segambut Pusat di Kuala Lumpur; Jalan Tembaga Industri dan Jalan Gangsa Industr di Johor; Jalan Terbilang di Pulau Pinang dan Telipot di Kelantan.

“Kluster komuniti melibatkan Nanga Skrang dan Skim Penempatan Stapok di Sarawak; Kampung Tok Sangkut di Kelantan; Kahang Timur di Johor dan Tanjung Kapor di Sabah. Kluster kumpulan berisiko melibatkan Lorong Taman Ipoh Dua di Perak; kluster keagamaan melibatkan Jalan Muafakat di Johor dan kluster Institusi Pendidikan KPM di Sabah melibatkan Kebagu,” katanya.

Dalam pada itu, sempena Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam di seluruh negara esok, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard hari raya yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

“Keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti di negara kita adalah semakin meruncing. Kini lebih banyak kes varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan di samping peningkatan kluster terutama kluster rentas negeri, kenaikan sehingga 70 peratus kes jangkitan sporadik dalam komuniti dan kenaikan sehingga 80 peratus kes tidak bergelaja adalah semakin membimbangkan.

“Masyarakat seharusnya mengambil iktibar dan berusaha untuk mengelak daripada dijangkiti virus COVID-19 yang berbahaya ini,” katanya.

KKM turut mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada mereka yang berkenaan atas jasa dan bakti yang diberikan terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Tanggal 12 Mei setiap tahun, Hari Jururawat disambut di seluruh dunia sebagai mengenang jasa golongan jururawat yang sanggup berkorban masa, tenaga dan bertungkus lumus dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya. - Bernama

Advertisement