Anda di sini

Cavani terus kekal bersama Man United hingga 2022

Advertisement
CAVANI
CAVANI

LONDON: Edinson Cavani akan terus kekal di Manchester United, menurut pengesahan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Penyerang veteran itu menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal di Old Trafford sehingga 2022.

“Sepanjang musim ini, saya semakin gembira dan sayang dengan kelab dan segala-gala yang diwakilinya,” kata Cavani. “Saya merasai ikatan kuat dengan rakan sepasukan juga kakitangan kelab yang bekerja di sebalik tabir di sini.

“Mereka memberikan saya motivasi tambahan setiap hari dan saya tahu bahawa bersama-sama, kami boleh mencapai sesuatu yang istimewa.

“Dari saat pertama saya tiba, saya merasai keyakinan pengurus. Sebagai pemain, ini memberikan anda peluang sempurna untuk bermain di tahap terbaik anda dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada beliau.

“Saya juga terharu dengan harapan penyokong untuk saya terus kekal dan saya akan memberikan segala-galanya untuk memberikan kegembiraan kepada mereka dengan prestasi saya dalam padang. Saya masih belum dapat beraksi di hadapan penyokong di Old Trafford (kerana pandemik COVID-19) dan ia adalah sesuatu yang saya harapkan akan berlaku nanti.”

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, menambah: “Saya berkata kepada Edinson apabila beliau tiba buat kali pertama bahawa beliau akan membawa tenaga, kekuatan dan kepimpinan ke dalam kumpulan ini dan saya tidak silap, beliau melakukan segala-galanya yang saya fikirkan.

“Sebagai jurulatih, kami tahu tentang rekod jaringannya. Bagaimana, personaliti beliau telah memberikan banyak sumbangan kepada skuad ini, beliau memiliki mentaliti kemenangan dan juga mempunyai sikap yang baik kepada segala yang beliau lakukan.

“Edinson adalah salah seorang dari pemain yang terakhir meninggalkan pusat latihan dan menjadi contoh kepada pemain muda dengan pendekatan profesional beliau setiap hari. Saya sentiasa mahu beliau terus kekal dan merasai cara penyokong memberi reaksi kepada beliau sebagai pemain dan ini bermakna saya berharap beliau akan mendapat peluang itu (bermain di hadapan penyokong).”

Cavani, yang tiba tanpa yuran perpindahan pada bulan Oktober selepas dibebaskan dari Paris Saint Germain (PSG), dibayangkan akan meninggalkan kelab selepas hanya satu musim selepas semakin tidak gembira dengan kehidupan di Manchester.

Tetapi selepas kembali dari satu penggantungan dan pulih dari beberapa kecederaan, penyerang berusia 34 tahun itu, yang menjadi buruan Boca Juniors, sudah menjaringkan lapan gol dalam tujuh perlawanan terakhir dan diyakinkan oleh Solskjaer untuk  terus kekal.

Cavani sudah  menjaringkan 15 gol dalam 35 perlawanan musim ini dan mungkin menamatkan musim dengan kejuaraan sekiranya Manchester United menewaskan Villarreal di final Liga Europa pada 26 Mei depan.

Cavani juga berharap untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Uruguay di Piala Dunia 2022 di Qatar, salah satu sebab kenapa beliau mahu terus kekal dalam Liga Perdana Inggeris. — AFP

Advertisement