Anda di sini

Milan benam Juve 3-0 dalam aksi Serie A Itali

Advertisement
  Brahim Diaz (tengah) bersaing denganpemain pertahanan Juventus Giorgio Chiellini (kiri) dan pemain Juventus Matthijs De Ligt pada perlawanan Serie A Itali di antara Juventus menentang AC Milan di stadium Juventus di Turin, kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Brahim Diaz (tengah) bersaing denganpemain pertahanan Juventus Giorgio Chiellini (kiri) dan pemain Juventus Matthijs De Ligt pada perlawanan Serie A Itali di antara Juventus menentang AC Milan di stadium Juventus di Turin, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: AC Milan menyingkirkan Juventus dari empat tangga teratas Serie A Itali dengan kemenangan 3-0 di Turin pada Ahad, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2014.

Brahim Diaz meletakkan Milan di hadapan sebelum rehat dengan Anton rebic dan Fikayo Tomori menambah dua lagi gol dalam separuh masa pertama selepas Franck Kessie gagal menyempurnakan satu tendangan penalti.

Milan naik ke tangga ketiga, berkongsi 72 mata dengan pasukan di tangga kedua, Atalanta, dengan Napoli kurang dua lagi mata di tangga keempat, slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Juventus kini di tangga kelima, satu mata di belakang Napoli dengan baki tiga perlawanan termasuk pertemuan menentang juara liga baharu, Inter Milan hujung minggu ini.

“Kami bermain dengan hebat sekali, satu  kemenangan ke atas pesaing sengit pada saat yang paling penting musim ini,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli, di mana pasukannya tewas 0-3 kepada Juventus di San Siro pada bulan Januari.

“Kami masih perlu berusaha. Tetapi saya memiliki pasukan yang muda dengan kematangan mereka terbukti malam ini.”

Gol pembukaan hadir sebelum rehat dengan Diaz menjaringkan gol dari bola muntah selepas penjaga gol Juventus Wojciech Szczesny gagal menepis kemas tendangan percuma Hakan Calhanoglu.

Milan hampir menambah jaringan sebelum satu jam permainan berlalu apabila pemain pertahanan Juventus, Giorgio Chiellini terpegang bola tetapi Szczesny menepis penalti lemah Kessie.

Penyerang veteran Milan, Zlatan Ibrahimovic, dikeluarkan pada minit ke-65 kerana kecederaan lutut dengan Diaz juga dikeluarkan lima minit kemudian.

“Beliau tidak di tahap terbaik tetapi beliau tidak mahu terlepas peluang pada perlawanan ini,” kata Pioli ketika merujuk kepada Ibrahimovic.

“Beliau berasa sakit di bahagian lutut tetapi saya fikir ia tidak serius.”

Rebic menambah jaringan dengan satu rembatan cantik ketika berbaki 12 minit permainan sebelum Tomori melengkapkan jaringan tiga minit kemudian.

Jurulatih Juventus, Andrea Pirlo tidak dapat menjelaskan apa yang berlaku kepada penyerangnya, Cristiano Ronaldo selepas gagal menambah koleksi 27 gol liga setakat ini.

“Kami memulakan perlawanan dengan baik dan sedikit demi sedikit kami hilang rentak. Ia sukar untuk saya jelaskan kenapa,” kata Pirlo.

“Apabila anda tewas 0-3 pada perlawanan yang sangat penting seperti ini, ia bermakna ada banyak perkara yang tidak berhasil.”

Pirlo menolak untuk meletak jawatan dengan menegaskan: “Tidak, saya tidak akan melepaskan jawatan. Saya mengisi jawatan dengan keazaman tinggi, dengan kesukaran tetapi usaha saya diteruskan.

“Saya fikir saya boleh melakukan lebih bagus lagi. Ada baki tiga perlawanan dan saya akan meneruskan tugas saya selama yang saya mampu.”

Pada perlawanan awal, Atalanta membelasah Parma 5-2 untuk kembali ke tangga kedua liga. — AFP

Advertisement